JAKARTA - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Jakarta, bagi menzahirkan penghormatan Malaysia kepada Indonesia yang berduka atas pemergian presiden ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie.
Timbalan Perdana Menteri tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di sini kira-kira jam 11.45 pagi waktu Indonesia Barat.
Turut bersama Wan Azizah, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, yang disambut Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.
BJ Habibie meninggal dunia jam 6.05 petang semalam di Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan dialaminya.
Wan Azizah akan menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman Allahyarham di Patra Kuningan, sebelum dijadual menghadiri majlis pengebumian di Taman Makam Pahlawan (MPM), Kalibata, Jakarta.
BJ Habibie, 83, adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.
Sebelum ini, pada Mac 2018, BJ Habibie juga menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan 'asphyxia'.
Jenazah Allahyarham BJ Habibie akan dimakamkan di TPM, Kalibata, Jakarta Selatan pada jam 1 tengah hari ini selepas solat Zuhur.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan bersebelahan pusara isterinya, Hasri Ainun Besari atau Ainun Habibie yang telah meninggal dunia pada 22 Mei 2010. - Bernama