KOTA BHARU - Kedudukan geografi Kelantan yang bersempadan dengan negara lain menjadikan negeri ini sebagai transit dadah.
Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, dadah yang dibawa masuk dari negara jiran ditempatkan di Kelantan sebelum bahan terlarang itu dibawa pula ke pasaran di negeri-negeri lain dalam negara ini.
"Kelantan berada berdekatan sempadan negara menyebabkannya ‘diserang’ dengan bekalan dadah dan daun ketum.
"Sebelum itu, Kelantan dijadikan sebagai lokasi transit bekalan tersebut,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tumpat 2 hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup.
Katanya, justeru itu usaha membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat perlu bermula dari sekolah rendah dan pelbagai program perlu dilaksanakan untuk murid.
"Tindakan menyekat penyalahgunaan dadah dan gejala sosial perlu bermula dari peringkat kanak-kanak lagi.
"Agensi lain yang terlibat dengan Pemadam termasuklah JKM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam misi menjelajah di sekolah rendah di 10 daerah di negeri ini dengan peruntukan RM27,000,” katanya.
Wan Roslan yang juga Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan berkata, program itu diadakan di sekolah rendah kerana golongan kanak-kanak mudah menerimanya.
"Tangkapan dadah di Kelantan yang dijalankan oleh polis sejak akhir-akhir ini sangat baik.
"Kami juga berharap penguatkuasaan oleh pihak berkuasa terus diperketatkan untuk membendung masalah dadah yang boleh memusnahkan masa depan anak-anak,” katanya.