KUALA LUMPUR - Projek eksperimen bas midi Rapid KL diperluaskan ke laluan T304 hab Bukit Indah- Ampang Point bagi tempoh tiga bulan bermula Isnin ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, sebanyak lima bas berukuran 8.9 meter termasuk satu daripadanya mesra orang kurang upaya (OKU) disediakan bagi laluan itu.
Menurutnya, bas berkenaan dengan kekerapan perjalanan setiap 14 minit pada waktu puncak dan 26 minit pada waktu biasa berbanding jadual semasa antara 20 hingga 30 minit.
"Penggunaan bas midi akan memendekkan masa menunggu. Ini adalah usaha Rapid KL menjalankan eksperimen untuk tujuan pengumpulan data. Ini juga bukanlah model bas sebenarnya yang kami akan gunakan.
"Ia bertujuan memantapkan kesinambungan perjalanan dengan harapan lebih ramai akan menggunakan pengangkutan awam khususnya bas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Yazurin turut berharap orang awam dapat memberikan maklum balas berkenaan kemudahan itu bagi membolehkan Rapid KL menambah baik sistem perkhidmatan pada masa akan datang.
"Data dan maklum balas ini dapat membantu Rapid KL membuat keputusan berhubung kemungkinan menggunakan bas midi untuk laluan tertentu.
"Rapid KL akan meneruskan eksperimen ini ke laluan strategik tempatan lain khususnya di kawasan yang mempunyai jalan sempit dan kawasan penempatan tinggi,” katanya.
Terdahulu Rapid KL melancarkan pelaksanaan percubaan bas midi bagi laluan T300 bermula 1 September lalu dengan mengguna pakai bas pendek berukuran 8.9 meter menggantikan bas 12 meter.
Sebelum ini ia menggunakan nama bas mini menyebabkan percubaan itu menimbulkan kekeliruan awam sebelum Rapid KL menjelaskan pelaksanaan berkenaan menggunakan konsep bas mini namun mesra pengguna.