IPOH - Parti Sosialis Rakyat (PSM) membantah cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen kakitangan awam.
Pengerusinya, Dr D Jeyakumar berkata, pelaksanaan cadangan itu akan menyebabkan golongan pesara menderita kerana mereka tiada lagi sumber pendapatan lain.
Menurutnya, golongan pesara tidak seharusnya dilihat sebagai beban kepada kerajaan kerana mereka berkhidmat melaksanakan polisi kerajaan.
"Kita amat tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan memansuhkan skim pencen ini. Tindakan ini akan menyebabkan pesara rasa tidak selamat.
"Mungkin sekarang ini mereka bekerja dan ada gaji yang baik, tetapi apabila bersara mereka akan sengsara. Ini idea yang tidak bijak sebenarnya," katanya kepada pemberita di Pejabat PSM Cawangan Buntong di sini hari ini.
Jeyakumar berkata, skim pencen sebenarnya perlu diperluaskan kepada semua rakyat yang bekerja dan bukan hanya penjawat awam.
Menurutnya, PSM pernah mencadangkan skim pencen warga emas sejak tiga tahun lalu kepada kerajaan bagi membantu meringankan beban mereka yang tidak lagi mampu bekerja.
Beliau berkata, pencen berkenaan diberikan kepada mereka yang tidak mendapat manfaat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.
"Yang tak terima pencen kerajaan, tiada caruman Perkeso dan KWSP seperti petani perlu juga diberikan pencen dengan permulaan RM300 setiap bulan.
"Jumlah itu bukanlah untuk yang tinggal berseorangan, tetapi jika mereka tinggal dengan anak, sekurang-kurangnya tidak membebankan ahli keluarganya," katanya.