WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengancam untuk membedil Taliban dengan lebih banyak bom susulan kegagalan rundingan damai antara Washington dengan kumpulan itu.
Trump berkata, beliau sebelum ini komited untuk menamatkan perang AS selama 18 tahun di Afghanistan.
Namun, beliau mengubah fikiran dan membatalkan rundingan damai pada saat akhir Sabtu lalu selepas seorang anggota tenteranya terbunuh dalam serangan bom didalangi Taliban di Kabul.
Mangsa dikenal pasti sebagai Sarjan Kelas Pertama, Elis A Barreto Ortiz dari Puerto Rico.
Barreto, 34 yang berpangkalan di Fort Bragg, Carolina Utara terbunuh Khamis lalu dalam satu serangan bunuh diri berhampiran kenderaannya.
"Satu pertemuan telah diatur antara kami beberapa hari lalu. Tapi saya membatalkan pertemuan itu selepas mengetahui salah seorang anggota tentera AS dari Puerto Rico dan 11 yang lain terbunuh di Kabul," katanya.
Trump berkata demikian bagi merujuk pertemuan sulit yang dirancang untuk diadakan pada Ahad bersama pemimpin utama Taliban di tempat istirahat Presiden di Camp David, Maryland.
Beliau turut mengumumkan rundingan damai yang sedang berjalan di Qatar turut terbatal.
Sementara itu Taliban dalam kenyataan balasnya berkata, keputusan Trump akan menyebabkan lebih banyak kematian rakyat AS di Afghanistan.
"Trump akan menyesali keputusannya. Kami cuba mengakhiri konflik ini dengan cara baik dan sekarang satu-satunya cara untuk mengakhirinya adalah dengan peperangan," kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid. - Agensi