GANJARAN bakal dipertimbangkan kepada pasukan Kedah sekiranya muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019, kata Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK), Datuk Dr Ismail Salleh.
Menurutnya, itu antara perkara yang akan diberikan perhatian sekiranya pasukan dibarisi majoriti anak jati Kedah yang rata-rata berusia 24 tahun ke bawah itu berjaya menjulang kejuaraan selepas kali terakhir mereka melakukannya pada 2005.
"Jika pasukan ini mampu menjulang kejuaraan pada musim 2019, sudah tentu kami akan mempertimbangkan ganjaran di atas kejayaan ini kerana mengangkat martabat dan nama Kedah.
"Bagaimanapun perkara ini masih belum diputuskan lagi kerana yang lebih penting adalah fokus pasukan terlebih dahulu dalam memburu kemenangan demi kemenangan pada setiap perlawanan untuk sampai ke pentas final," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Memperkenalkan Pemain PERR Kedah di sebuah hotel malam kelmarin.
Mengulas mengenai persiapan pasukannya, Dr Ismail berkata, persiapan pada tahun ini dilakukan lebih teratur selain dibarisi ramai pemain berkualiti dari skuad belia dan skuad presiden Kedah.
Jelasnya, beraksi di laman sendiri di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok bagi aksi Kumpulan D bersama Perlis, Perak dan Wilayah Persekutuan juga bakal memberikan kelebihan dari sudut sokongan penyokong sendiri dalam membangkitkan motivasi dan semangat pemain pada setiap perlawanan.
"Saya harap semua kelebihan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemain Kedah malah Raja Muda Kedah, Tunku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin juga berkenan untuk menyaksikan perlawanan ketiga kumpulan di antara Kedah dan Wilayah Persekutuan pada 18 September ini di UUM," katanya.
PBMK adalah juara edisi pertama Piala Sultan-Sultan pada 1922 dan secara keseluruhannya, Kedah telah memenangi 7 kejuaraan Piala Emas iaitu pada 1922, 1948, 1949, 1952, 1953, 1996 dan kali terakhir 2005.
Kedah berjaya mara ke final 4 kali selepas itu bermula pada tahun 2009, 2010, 2012 dan kali terakhir adalah pada 2013 sebelum dikecewakan oleh pasukan Perlis.