ALOR SETAR - Pertubuhan Bantuan Bertindak Negeri Kedah (PBBNK) memohon supaya Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Setar dibuka kepada semua golongan berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka khususnya kumpulan B40 memiliki kediaman sendiri.
Pengerusinya, Thana Chew Ne Meng berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan serta makluman daripada orang awam berkaitan projek PPR Kota Setar yang didakwa khusus untuk Bumiputera sahaja.
Menurutnya, pemohon mendakwa sebelum ini mereka dimaklumkan bahawa projek berkenaan terbuka kepada semua rakyat Kedah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 seisi keluarga.
"Bagaimanapun, pemohon juga mendakwa mereka dimaklumkan bahawa permohonan dibuat ditolak terus serta diberitahu mengenai status tanah berkenaan yang tidak bebas, rizab Melayu selain khas untuk Bumiputera sahaja.
"Selama ini kita difahamkan projek PPR itu adalah projek kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan untuk yang memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah (B40)," katanya.
Thana berkata, program PPR disewa diperkenalkan pada 2002 untuk disewakan kepada golongan sasaran dengan kadar RM124 sebulan.
Menurutnya, kerajaan turut memperkenalkan PPR dimiliki demi membolehkan golongan berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah sendiri yang dijual pada kadar RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak.
"Bagaimanapun ramai tidak tahu bahawa mereka berpeluang memiliki rumah di bawah PPR sama ada disewa ataupun dimiliki.
"Jadi kita berharap permohonan memiliki PPR Kota Setar dibuka semula untuk semua rakyat Kedah, khususnya bagi golongan B40 dan setinggan. Golongan ini meliputi 70 peratus Bumiputera dan 30 peratus bukan Bumiputera," katanya.
Katanya lagi, kerajaan juga diharapkan bersetuju untuk membenarkan semua rakyat berbilang kaum memiliki rumah mampu milik melalui PPR Kota Setar ini, supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih selamat serta selesa dalam suasana muhibah.
Sementara itu seorang pemohon, Ganesah Krisnan, 49, berkata, dia yang kini tinggal menyewa berharap berpeluang mendiami rumah mampu milik di PPR berkenaan.
Menurutnya, dia yang hanya bekerja sebagai tukang cuci mengimpikan berpeluang tinggal di PPR Kota Setar berikutan belum memiliki kediaman sendiri, selain kedudukannya berdekatan dengan tempat kerja.
Malah, pandangan sama disuarakan Tan Cheng Khoe, 51, yang berharap PPR berkenaan dapat dibuka kepada golongan bukan Bumiputera sepertinya.