NEW DELHI - Seorang lelaki di India ‘kantoi’ menyamar sebagai warga emas berusia 81 tahun ketika cuba menaiki pesawat ke New York dengan menggunakan pasport palsu.
Jayesh Patel, 32, dari Gujarat ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi, ketika kejadian pada Ahad lalu.
Patel turut memakai kaca mata besar, mewarnakan janggutnya seperti uban dan menggunakan kerusi roda sebagai cubaan untuk memperdaya pihak berkuasa sewaktu melalui pemeriksaan awal keselamatan dan imigresen.
Pihak berkuasa bagaimanapun mula mengesyaki sesuatu yang mencurigakan apabila dia enggan menjalani pemeriksaan atas alasan terlalu tua untuk berdiri.
Dia turut menyerahkan pasport dengan nama Amrik Singh dan tarikh kelahirannya pada 1 Februari 1938.
"Kulitnya jelas seperti orang muda berbanding umur yang tertera pada pasport,” kata jurucakap Pasukan Keselamatan Perindustrian Pusat (CISF).
Ketika disoal siasat, Patel akhirnya mengaku dia menyamar dan turut menggunakan pasport palsu.
Sementara itu, jurucakap polis, Sanjay Bhatia memaklumkan Patel dipercayai berurusan dengan ejen yang menjanjikan pasport dan visa Amerika Syarikat (AS) yang mengatur ‘kostum dan solekan’ warga emas kepadanya.
"Dia merancang untuk mencari kerja di AS, namun dengan profil seperti itu tidak mungkin akan mendapat visa dengan mudah,” katanya. - Agensi