SABAK BERNAM - Seorang warga emas tekad berkayuh sejauh 2,500 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung bagi mengumpul dana melaksanakan Misi Kayuhan ke Makkah.
Kayuhan berbasikal memasuki hari kesembilan itu singgah di Sungai Besar pagi kelmarin dengan jarak perjalanan sejauh 306 km bermula dari Felda Palong 4, Gemas, Negeri Sembilan.
Sitdek Ahmad Ali, 62, berkata, dia memerlukan dana sebanyak RM36,700 untuk melaksanakan misi tersebut yang dijangka dilakukan pada tahun hadapan.
"Saya telah kumpulkan sebanyak RM18,000 hasil kutipan sumbangan dan jualan buku sepanjang ekspedisi kayuhan pada siri pertama Mei lalu.
"Saya turut menjual buku berharga RM10 bagi mengumpul dana sambil berkayuh,” katanya.
Menurutnya, dia berazam meneruskan ekspedisi kayuhan itu untuk beberapa kali bagi memastikan dana yang diperlukannya mencukupi.
"Ahli keluarga merestui dan memberi sokongan penuh untuk saya melaksanakan misi ini.
"Malah ada di antara anak berminat turut serta namun tidak berkesempatan kerana masih belajar,” katanya.
Berhubung misi kayuhan ke Makkah, Sitdek berkata, kayuhan sejauh lebih 10,000km itu bermula dari Putrajaya merentasi Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan seterusnya Arab Saudi.
"Sudah lama saya mengimpikan berbasikal ke Makkah sekali gus mengerjakan umrah.
"Pada 2006, saya hampir melaksanakan impian berkenaan tetapi terpaksa dibatalkan kerana ketika itu berlaku konflik dan peperangan di Timur Tengah,” katanya.