Generasi baharu Felda tuntut rumah

Iklan
Projek itu hanya disiapkan 13 peratus sahaja apabila pemaju yang bertanggungjawab telah menamatkan kontrak. (Gambar kecil: Rushihan)

GUA MUSANG - Generasi baharu Felda di daerah ini menuntut pembinaan 300 unit kediaman Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai sejak sekian lama.

Tapak projek yang dicadangkan pada 2015 itu ialah di Felda Chiku 6, Gua Musang.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang bangunan yang didirikan dan hanya dipagar dengan kepingan zink biru serta dipenuhi semak-samun.

Berdasarkan keterangan di papan notis, projek itu hanya disiapkan 13 peratus sahaja apabila pemaju yang bertanggungjawab telah menamatkan kontrak.

Iklan

Kerja-kerja di tapak projek pula dihentikan pada 15 Disember 2016 sementara proses melantik kontraktor baharu dibuat.

Pengerusi Persatuan Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Felda Chiku 5, Rushihan Amri Zakaria berkata, sudah lebih tiga tahun golongan belia menanti projek perumahan itu.

Iklan

Katanya, ramai generasi baharu Felda menumpang di rumah keluarga dan menyewa di kawasan berdekatan pada harga sewaan yang tinggi.

"Kami gembira apabila Felda mengumumkan projek ini tetapi sehingga kini masih menanti kerana hanya pagar biru sahaja yang ada di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, generasi baharu yang tinggal di kawasan itu bergaji rendah tidak mampu membeli rumah lain.

Pengerusi Persatuan Belia Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Felda Chiku 6, Che Muhammad Faqeh Che Amat berkata, hampir 1,000 belia di beberapa rancangan menumpang di rumah ibu bapa mereka.

"Sudah lebih tiga tahun projek ini terbengkalai. Adakah ia diteruskan atau hanya dibiarkan sepi.

"Generasi baharu amat menantikan projek perumahan ini kerana kebanyakan generasi kedua Felda hanya bekerja kampung dan tidak memiliki penyata gaji," katanya.

Wakil generasi kedua Felda Aring 1, Che Mohd Izani Che Musa berkata, kerajaan dan Felda perlu memastikan projek pembinaan ini dapat diteruskan bagi membantu golongan generasi baharu memiliki kediaman sendiri.

"Kita dapati dalam sebuah rumah ada dua hingga tiga anak-anak yang sudah berkahwin. Mereka tiada pilihan selain menumpang kerana tidak mampu menyewa kerana gaji yang rendah.

"Ada juga di antara anak-anak peneroka yang bekerja kampung dan tidak layak memiliki kediaman melalui pinjaman bank," katanya.