SHAH ALAM - Ahli Parti Bersatu diingatkan agar tidak menjadikan perjuangan parti itu beridolakan kepada wang dan kuasa sekiranya mahu terus kekal menjadi kerajaan pada masa depan.
Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ahli perlu sedar bahawa parti itu menang bukan kerana kekuatan parti sebaliknya kerana kelemahan seteru parti itu.
Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14), seteru politik Bersatu berjanji menaikkan gaji, pemberian wang kepada rakyat kerana mereka percaya rakyat akan sokong namun ramalan itu meleset.
"Kita tidak akan guna duit. Kita bergantung kepada semangat kebangsaan dan bangsa kita. Kita bergantung kepada semangat itu untuk raih sokongan rakyat. Bukan kerana kita hamburkan duit kepada mereka.
"Sudah tentu, kalau kita berkelakuan seperti parti yang kita kalahkan (pada PRU14), kita juga akan kalah," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Bersatu di sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Dalam Negeri, diiringi Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kepimpinan parti seluruh negara.
Turut kelihatan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan beberapa pemimpin parti komponen Pakatan Harapan.
Dalam pada itu, Dr Mahathir sekali lagi mengingatkan bahawa kemenangan Bersatu pada PRU lepas bukan semata semata kekuatan mereka tetapi kerana penolakan rakyat terhadap seteru politik parti itu.
Katanya, ahli Bersatu harus melihat kekalahan dan kegagalan pihak lawan yang telah memerdekakan negara ini, juga telah mentadbir negara selama 60 tahun itu sebagai satu pengajaran.
Menurutnya, walaupun parti lawan berkenaan"tua" dan jasanya diakui tetapi hakikatnya rakyat tidak lagi suka terhadap parti yang begitu popular itu yang akhirnya ditolak oleh rakyat di negara ini.
"Kejayaan dan kegagalan mereka serta sifat-sifat mereka itu boleh dijadikan pengajaran kepada kita. Yang mana kalau kita faham, dan kita belajar dan kita amal maka kita akan lebih selamat," katanya.
Dr Mahathir kemudiannya menzahirkan harapan agar ahli Bersatu sentiasa mengingatkan sesama sendiri supaya terus berpegang utuh kepada perjuangan parti demi kelangsungan Bersatu di masa depan.