JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan bekalan bahan api petrol dan diesel di Johor mencukupi untuk jualan harian serta terkawal.
Pengarah Penguatkuasaannya, Aris Mamat berkata, seramai 250 anggota penguatkuasa di seluruh negeri ini akan membuat pemeriksaan dan pemantauan lebih agresif terhadap 574 buah stesen minyak di negeri ini.
Ini berikutan penyelarasan harga runcit petroleum yang akan dilaksanakan pihak kerajaan mulai 1 Januari depan.
"Bermula 26 Disember lepas, KPDNHEP Johor telah memulakan pemeriksaan dan pemantauan terhadap 144 buah stesen minyak daripada 574 buah stesen minyak seluruh negeri ini.
"Bekalan bahan api diesel seluruh negeri adalah 468,895 liter, manakala Ron 95 sebanyak 1.6 juta liter dan 269,551 liter bagi Ron 97 setakat semalam," katanya pada sidang media di pejabat KPDNHEP negeri di Menara Ansar, di sini, hari ini.
Aris berkata, pada hari ini, pihaknya baru sahaja selesai mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil stesen minyak dan mesej peringatan serta amaran sudah diberi agar mereka tidak menutup premis tanpa memaklumkannya kepada KPDNHEP terlebih dahulu dan setakat ini tiada masalah serta aduan penutupan stesen minyak diterima.
"Kita tidak akan kompromi (tutup premis), malahan kesemua stesen juga akan beroperasi seperti biasa termasuk yang buka pada 18 hingga 24 jam dan kita akan pastikan mereka tidak terlebih atau terkurang jumlah jam.
"Ini kerana, setiap pemegang lesen runcit bahan api petrol dan diesel tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang mana pengusaha diwajibkan mematuhi syarat di dalam lesen antaranya bertanggungjawab memastikan bekalan bahan api petrol dan bahan api diesel di premis sentiasa ada serta cukup untuk jualan harian,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan pengusaha mematuhi arahan tersebut atau apa-apa syarat yang terkandung di dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974.
"Pada tahun ini juga kita ada menerima dua kes berhubung kenderaan asing dari Singapura yang mengisi petrol Ron 95 di sekitar Johor Bahru.
"Kompaun serta tindakan mahkamah akan dikenakan kepada stesen minyak yang terlibat dalam kes itu dan masih ini ia masih dalam siasatan,” ujarnya.
Katanya, peringatan sudah diberi kepada semua stesen minyak supaya tidak menjual Ron 95 kepada warga asing.
Pengguna yang ingin menyalurkan maklumat atau aduan boleh menghubungi KPDNHEP Johor melalui talian aplikasi Whatsapp KPDNHEP; 019-2794317, talian aduan pengguna; 1800-886-800 atau hadir sendiri ke pejabat KPDNHEP terdekat.
Dalam pada itu, Aris memberitahu, pihaknya tidak ada menerima aduan berikutan kenaikan harga di restoran makanan segera di negeri ini.
"Setakat hari ini, kita menerima sebanyak 627 kes berbanding 779 kes pada tahun lepas membabitkan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM2.3 juta
"Sejumlah RM335,550 kompaun yang dikutip melibatkan 661,164 pemeriksaan yang dijalankan, manakala sebanyak 101 kes pula dituduh di mahkamah dengan kutipan denda sebanyak RM1.19 juta," katanya.