KUALA LUMPUR -"Meskipun terpaksa merangkak, saya tetap akan datang memberikan sokongan pada hari bersejarah ini," kata Rokiah Samsudin.
Rokiah, 67, antara ribuan peserta yang hadir pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Kata Rokiah, dia yang mengalami masalah kesihatan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak meminta bantuan rakan untuk menghantarnya ke lokasi himpunan awal pagi tadi.
"Matlamat saya datang hari ini adalah untuk memberikan semangat kepada himpunan perpaduan Melayu- Islam.
Jelas ahli UMNO dari Selayang itu, dia juga sanggup membatalkan penerbangan ke Padang, Indonesia, yang dijadualkan hari ini selepas menerima maklumat mengenai himpunan tersebut.
"Saya sepatutnya berlepas ke Padang tetapi saya ambil keputusan untuk tidak turut serta percutian bersama-sama rakan demi himpunan ini," katanya.
Hari ini, sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya bendera Pas berkibar sama aras dengan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ di PWTC.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan bersama, mengumumkan kerjasama antara kedua-dua parti akan diputuskan melalui pemeteraian piagam dan MoU esok.
Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri presiden kedua-dua parti dan majlis itu akan dihadiri semua pemimpin UMNO serta Pas dari seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Bukti penyatuan ummah berkesan' - Takiyuddin
'Bulan’ berkibar megah bersama ‘Sang Saka Bangsa’ di PWTC