Guna saluran dalaman kalau nak kritik - Shamsul Iskandar

Iklan
Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya yang juga Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (belakang berdiri tiga, kanan) bersama sebahagian penerima sumbangan 'Kembali ke Sekolah' selepas Program iRUN Hang Tuah Jaya Larian Santai 2018 hari ini. Pada program itu sebanyak 1,000 murid dan pelajar dari 10 sekolah di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya menerima baucer antara RM100 hingga RM250 seorang untuk membantu meringankan beban perbelanjaan persekolah keluarga kurang berkemampuan. - Foto Bernama

MELAKA - Pemimpin PKR pada semua peringkat dinasihatkan tidak menjadikan media sebagai saluran mengkritik parti sebaliknya menggunakan saluran sewajarnya untuk membangkitkan isu dalaman.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini bagi memastikan isu berbangkit diselesaikan secara baik menerusi musyawarah dan permuafakatan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun pada masa sama, beliau tidak menganggap perselisihan pendapat secara terbuka antara pemimpin PKR akan melemahkan parti.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya ini berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Program iRUN Hang Tuah Jaya Fun Run 2018 dan Program Kembali Ke Sekolah di Air Keroh di sini hari ini.

Iklan

Beliau diminta mengulas mengenai perbezaan pendapat secara terbuka di antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pelantikan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, gandingan Anwar dan Mohamed Azmin adalah yang terbaik dan diyakini anggota akar umbi untuk menerajui parti.

Iklan

Mohamed Azmin pada Jumaat lepas menggesa Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama parti yang pada pandangannya tidak mencerminkan kehendak anggota akar umbi.

Dalam kenyataan balasnya Anwar berkata, lantikan yang diumumkan itu bertujuan memastikan PKR bersifat inklusif sedangkan Mohamed Azmin tidak mahu orang-orang tertentu berada dalam barisan kepimpinan parti.

Anwar turut menasihati Mohamed Azmin agar menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan.

Terdahulu, pada majlis itu Shamsul Iskandar turut menyampaikan baucar antara RM100 dan RM250 kepada 1,000 pelajar kurang berkemampuan dari 10 buah sekolah dalam kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya. - Bernama