KOTA BHARU - Berbaki tidak sampai 24 jam sahaja lagi untuk termeterainya hubungan secara rasmi Pas dan UMNO, namun Pas mengakui masih terdapat pimpinan akar umbi tidak merestui penyatuan itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kumpulan tersebut terutamanya di Kelantan sukar untuk melupakan sejarah hitam antara kedua-dua parti seteru berkenaan.
"Secara amnya (sokongan) OK. Cuma masih ada beberapa orang yang tidak boleh terima, sebab itulah kita di Kelantan nampak perlahan sikit.
"Sebab luka Pas dengan UMNO ini agak mendalam di Kelantan dan memerlukan masa yang panjang,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini.
Tidak pelik dengan senario penerimaan itu buat ketika ini, Mohd Amar berkata, nasib sama juga dikatakan turut dilalui sebilangan ahli UMNO yang lain.
"Begitu juga dengan ahli UMNO, ada juga yang tidak setuju sebab pertembungan dulu-dulu.
"Kalau nak cerita panjang pula. Kita tak mahu cerita (lagipun) semua sudah tahu. Semua (penerimaan) ini memerlukan masa.
"Perasaan di dalam hati kita tidak tahulah, bagi kita di pihak pimpinan pula apabila sudah bersetuju untuk berbaik, (maksudnya) kita sudah lupakan semua perkara yang lepas,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Amar yakin bahawa percanggahan pandangan yang muncul di ambang penyatuan tersebut akhirnya nanti akan dapat diterima kerana kematangan ahli Pas itu sendiri.
"Bagi saya (luka terubat atau tidak) tidak apa, sebab berdasarkan pengalaman kita suatu ketika dulu, apabila Pas masuk UMNO memang pada peringkat awal berlaku penentangan.
"Akan tetapi, lama-kelamaan orang boleh memahami apa tujuannya. Yang (penyatuan) ini pun kita percaya, sebab itu usaha ini kita buat awal sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lagi supaya benda ini tidak mengejut.
"Kita bagi masa kepada ahli Pas supaya faham,” katanya.
Tanggal 14 September 2019, esok merupakan detik yang bersejarah buat Pas dan UMNO apabila kedua-duanya sepakat menandatangani satu piagam bersama dan memorandum persefahaman untuk bekerjasama (bertaawun) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Mohd Amar juga mengharapkan selepas termaktub perjanjian tersebut, Pas dan UMNO perlulah sama-sama ikhlas dalam membawa perjuangan yang dipersetujui bersama itu.
"Kita harap UMNO pun sama. Dalam isu seperti ini kita memerlukan keikhlasan kedua-dua pihak. Sebelah kita (Pas) pun perlu ikhlas dan UMNO pun perlu ikhlas.
"Kalau kedua-dua ikhlas ia akan menjadi baik dan sekiranya masing-masing hendak mempergunakan mana-mana pihak ia akan menimbulkan masalah nanti,” katanya.