PUTRAJAYA - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedar akan desakan para perwakilan parti untuk beliau terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga PRU15 nanti.
Bagaimanapun kata Mahathir, matlamat utamanya untuk menjatuhkan kerajaan BN sudah tercapai dan tidak akan memungkiri janji untuk melantik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8.
"Saya sedar tentang desakan supaya kita terus mengadakan PM tua ini lebih lama, tetapi pada satu ketika dahulu kita adalah pembangkang.
"Tidak seronok kita dengar, tapi kita nak jatuhkan Najib. Saya perlu korban dan terima syarat itu kerana bukan utama jadi PM tapi menjatuhkan (Datuk Seri) Najib," katanya dalam ucapan penggulungan sempena hari terakhir Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.
Mahathir menambah, sememangnya nampak pelik apabila mengadakan kerjasama dengan bekas seterunya dahulu namun perkara itu harus dilakukan demi menyelamatkan negara.
"Itulah perjuangan kita, yang lain tidak dilakukan selagi kleptokrasi ini berkuasa.
"Kadang kita duduk bersama berpeluk antara musuh ketat lama, nampak pelik tapi sekarang nampak biasa.
"Tetapi kerana kita sanggup menerima sedikit syarat ini, akhirnya kita menang dan tidak sangka kita boleh menang," katanya lagi.