MARANG - Pas menyifatkan mereka yang masih lagi mengungkit kisah lama antara parti itu dengan UMNO sebagai gila talak.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sejarah lama kedua-dua parti itu tidak harus dibangkitkan semula kerana melibatkan urusan Pas dan UMNO, bukan parti lain apatah lagi ia sudah pun diselesaikan.
"Saya rasa yang ungkit itu bukan orang Pas atau UMNO. Itu urusan Pas dan UMNO, biar Pas dan UMNO selesaikan dan kita sudah selesai sebenarnya.
"Yang ungkit itu bukan orang kita lagi, sama ada yang sudah keluar dari Pas atau sudah keluar UMNO.
"Kata orang macam gila talak,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila hari ini.
Menurutnya, Pas dan UMNO telah membetulkan keadaan dan kesilapan silam secara muzakarah serta ilmu melalui penulisan buku oleh beliau sendiri dan Jabatan Perdana Menteri untuk huraikan isu kafir-mengkafir dan Amanat Haji Hadi.
"Mereka yang baca buku itu dan buku yang saya tulis selesai masalah. Pas ada buku dan UMNO pun ada buku dia yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri. Saya tidak tahu perdana menteri ada baca atau tidak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak timbul isu saling maaf-memaafkan kerana masing-masing lebih menjurus kepada membaiki keadaan berikutan apa yang berlaku melibatkan batas-batas iman dan kufur yang perlu dibetulkan sebagai orang Islam.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, Pas perlu menarik balik kenyataan yang melabel UMNO sebagai kafir sebelum kedua-dua parti itu memeterai piagam UMNO-Pas esok.
Menurutnya, sekiranya Pas tidak menarik balik gelaran itu, bermakna parti itu juga disifatkan kafir kerana menjalin kerjasama dengan UMNO yang dilabel sebagai kafir sebelum ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu tidak menafikan isu tersebut timbul sebagai tekanan dari Pakatan Harapan (PH) menjelang hari memeterai piagam melibatkan Pas dan UMNO esok dan ia merupakan tanda kegelisahan serta ketakutan PH terhadap penyatuan dua parti utama itu.
"Tidak perlu takut sebenarnya, dalam negara demokrasi kita bebas mengambil langkah mengikut saluran undang-undang dan proses damai.
"Sepatutnya kita gembira dengan penyatuan ini kerana banyak parti sebabkan rakyat berpecah (tapi) kerana gabungan ini rakyat semakin bersatu,” katanya.
Abdul Hadi turut berharap supaya semua pihak tidak bimbang dengan Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang kemuncaknya esok kerana ia bukanlah bersifat perkauman.
Katanya, himpunan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini lebih menjurus kepada penyatuan rakyat khususnya orang Melayu sebagai kaum majoriti namun dalam masa sama tidak mengetepikan kaum lain di Malaysia.