PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kontraktor yang menggunakan penyata bank palsu dalam memperoleh 793 tender yang dikeluarkan oleh kementerian terbabit Januari lalu.
Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pendidikan, Ulya Aqamah Husamudin berkata, tender tersebut meliputi 319 Bekalan Makanan Bermasak (BMB), 259 Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan 215 Perkhidmatan Kawalan keselamatan (PKK).
Menurutnya, Notis Penamatan (NP) telah dikeluarkan bermula 6 Ogos lalu terhadap 16 kontraktor BMB selepas dipercayai memalsukan penyata bank ketika menyertai tender KPM pada 1 Januari lalu.
"NP akan dikeluarkan secara berperingkat terhadap kontraktor tender KBK dan PKK," katanya ketika ditemui di luar bangunan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Ulya Aqamah berkata, KPM komited dalam memerangi sebarang cubaan memalsukan dokumen khususnya bagi proses perolehan kerajaan.
"Sehubungan itu, KPM menyerahkan kertas siasatan kepada SPRM bagi tindakan lanjut," katanya
Difahamkan, lebih 5,000 kontraktor menyertai tender tersebut sejak dibuka pada 1 Januari lalu.
Pada 19 Mac lepas, KPM memberi amaran kepada petender yang mengemukakan dokumen palsu atau dipinda dengan niat menipu akan dilaporkan kepada polis dan SPRM.