KOTA BHARU - Kerajaan berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman dan Kelantan yang berjaya melumpuhkan kumpulan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sejak sekian lama kerajaan sudah menyedari dan mengakui negeri Kelantan dijadikan sebagai transit dadah.
"Terima kasih kepada polis dari Bukit Aman. Mereka juga sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan memberikan taklimat.
"Jumlah tangkapan terbabit sangat besar. Itu baharu satu kes. Mungkin ada lagi...Memang kita terkejut,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu hari ini.
Pada Selasa lalu, media melaporkan seorang ketua sindiket pengedaran dadah terbesar di Kelantan ditahan dalam Ops Taucan ketika mahu berangkat ke Makkah untuk menunaikan umrah.
Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang.
Dalam operasi terbabit polis menemui 700,000 pil kuda dianggarkan seberat 77.61 kilogram bernilai RM10.5 juta dan turut merampas beberapa barangan lain.
Menyentuh mengenai isu sama juga semalam Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat turut memaklumkan kedudukan geografi Kelantan yang terletak sempadan darat negara menjadikan negeri ini sebagai transit dadah.
Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Amar juga memberitahu sebagaimana kenyataan beliau sebelum ini bahawa kerajaan negeri tidak pernah menafikan perkara tersebut berdasarkan beberapa faktor.
Sebaliknya, beliau tidak mahu masyarakat umum terus menyalahkan pemerintah negeri sahaja dalam soal ini memandangkan bidang kuasa penguatkuasaan bukan berada dalam tangan mereka.
Katanya, kerajaan juga telah memberikan kerjasama terbaik kepada agensi berkaitan dalam mengekang gejala tidak sihat di Kelantan pada setiap masa.
Termasuk juga katanya, program kesedaran dan pendidikan sudah dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak, tetapi kerajaan secara berterusan masih memerlukan komitmen masyarakat dalam menangani perkara sebegini.