MINSK - Ulang tahun kelahiran ke-21 seorang wanita di Belarus berakhir tragedi.
Ibu muda kepada dua anak itu meninggal dunia selepas lapan hari bertarung nyawa berikutan lehernya tersangkut pada tingkap kereta, dalam kejadian di Staroe Selo, Belarus.
Daily Mail melaporkan, Yulia Sharko cuba mengambil anak perempuannya berusia dua tahun dari tempat duduk penumpang melalui tingkap kiri yang separuh terbuka.
Pada masa sama, kanak-kanak itu telah menekan butang automatik cermin kereta itu yang menyebabkan lehernya tersangkut.
Suaminya, Artur menemui isteri tidak sedarkan diri bertindak memecahkan tingkap dan menarik badan isterinya yang ketika itu sudah tidak bermaya.
Pada masa yang sama, dia terus menghubungi pasukan kecemasan dan dikejarkan ke hospital.
Namun Yulia dari Zanbika, meninggal dunia lapan hari selepas kemalangan tragis itu kerana mengalami asfiksia yang membawa kepada kerosakan otak.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Penyelidikan Belarus, Dmitry Ivanyuk berkata, Yulia mengalami kecederaan serius ketika dihantar ke hospital wilayah Brest. - Agensi