MUAR - Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan atau menyebar isu perkauman dan keagamaan melalui media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbuatan seumpama itu bukan sahaja akan memecahbelahkan perpaduan kaum malah boleh memberi ancaman besar terhadap keselamatan negara.
Menurutnya, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, tindakan tegas diambil jika sudah memperoleh bukti yang cukup indicidu terbabit melanggar undang-undang hasutan.
"Saya mahu bagi amaran, saya bagi tahu Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) jangan lagi bagi amaran-amaran. Jika sudah ada bukti yang cukup individu itu melanggar undang-undang hasut orang dan buat perkara tidak baik sehingga boleh menjahanamkan negara, kita tidak akan berkompromi walaupun orang Pagoh yang buat, kita akan ambil tindakan tegas.
"Ini kerana kita nak pastikan apa yang kita bina selama 62 tahun tidak diruntuhkan, dirosakkan dan dihancurkan,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Pagoh di Dataran Bukit Pasir di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, semua sekolah sudah diarahkan mengehadkan sementara aktiviti luar kelas berikutan jerebu yang turut melanda ketika ini di Johor.
"Selain itu masyarakat di negeri ini juga dinasihatkan sentiasa memakai 'mask' ketika berada di luar rumah selain elak melakukan pembakaran terbuka.
"Bagi individu yang ada alahan atau mudah kena semput pastikan guna 'mask' ketika melakukan aktiviti luar. Kita juga tidak galakkan masyarakat untuk sementara buat kegiatan atau aktiviti luar termasuk sekolah,” katanya ketika mengulas mengenai jerebu yang melanda kini.
Menurut laman web Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) lima lokasi mencatatkan bacaan tidak sihat setakat 6 petang ini iaitu Tangkak merekodkan bacaan IPU 160, Segamat (133), Batu Pahat (118), Kluang (109) dan Larkin (106). - Bernama