Geng Mama Bangla palsu dokumen warga asing tumpas

Iklan
Pegawai Imigresen menunjukkan sebahagian dokumen pasport dan pas lawatan kerja sementara warga asing dipalsukan sindiket 'Mama Bangla' semalam.

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket pemalsuan pasport dan pas kerja warga asing diketuai warga Bangladesh dikenali Mama Bangla dalam satu siri operasi di tiga lokasi berasingan di sekitar Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi bermula jam 11 pagi dan disertai 15 pegawai, serbuan pertama dilakukan di Brickfields berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa pemeriksaan dilakukan terhadap suspek pertama itu, Imigresen menjumpai satu sampul surat berisi empat pasport Bangladesh, enam keping pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) dan enam kad pengenalan diri warga asing (i-Kad).

"Kesemua dokumen tersebut dipercayai palsu dan hasil siasatan awal suspek pertama mendedahkan, dalang sebenar mengetuai sindiket ini merupakan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 25 tahun yang lebih dikenali sebagai 'Mama Bangla'.

Iklan

"Sindiket dipercayai beroperasi sejak tahun 2017 di sekitar Kuala Lumpur dengan 'Mama Bangla' mengenakan bayaran RM200 untuk senaskhah pasport palsu, sekeping pelekat PLKS palsu (RM200) dan RM50 untuk i-Kad dan Kad CIDB palsu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, hasil maklumat itu membolehkan satu serbuan digerakkan bagi mengumpan 'Mama Bangla' keluar melalui satu pertemuan diadakan di sekitar Jalan Munshi sebelum berhasil menangkap suspek kedua itu.

Iklan

Menurutnya, semasa ditahan pihaknya menjumpai dua pasport Bangladesh dibawa bersama 'Mama Bangla' dan siasatan ke atasnya membawa kepada serbuan di lokasi ketiga

"Serbuan ke lokasi ketiga iaitu di sebuah kondominium di Jalan Putramas, Kuala Lumpur kita menjumpai 17 pasport warganegara asing dan enam keping pelekat PLKS palsu.

"Turut dijumpai peralatan membuat dokumen palsu seperti komputer, mesin pencetak dan alat pengimbas," katanya.

Kesemua perkakas digunakan ahli sindiket 'Mama Bangla' untuk memalsukan pelbagai dokumen warga asing dirampas dalam satu siri serbuan di Kuala Lumpur semalam.

Khairul Dzaimee berkata, suspek ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport bukan miliknya dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan dokumen dipalsukan.

Menurutnya, suspek pertama juga didakwa di bawah Seksyen 56(1A)(c) akta sama kerana bersubahat.

"Suspek kedua ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan kesalahan di bawah Seksyen 55D kerana memalsukan dokumen.

"Kedua-dua suspek ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.