Dalam politik, semuanya serba mungkin

Iklan
Umno dan Pas, dua parti yang sejak sekian lama berseteru berada di pentas Himpunan Penyatuan Ummah untuk matlamat yang sama. - Gambar hiasan.

SEKIRANYA semua berjalan seperti yang dirancang, hari ini termeterailah piagam bersejarah yang mengesahkan kerjasama antara UMNO dan PAS.

Dua parti yang sejak sekian lama berseteru, masing-masing tidak pernah sebulu, akan saling bersalaman dan berpelukan, tidur sekelambu, berkongsi bantal.

Iklan
Iklan

Pada satu sisi, persefakatan ini diuar-uarkan akan memperkukuh perpaduan Melayu dan Islam, yang sejak tsunami PRU14 dikatakan semakin berpecah.

Pada sisi yang lain, muafakat yang berasaskan kaum dan agama ini diandaikan akan merenggangkan perpaduan pelbagai etnik dan agama di negara majmuk ini.

Iklan

Apa yang pasti kerjasama UMNO-PAS ini akan menghangatkan lagi iklim politik negara, lebih-lebih lagi dalam menghadapi PRU15.

Dan, tentu sekali ini cabaran terhadap kerajaan PH yang kini masuk ke tahun kedua dengan semakin ramai yang merasakan keadaan tambah bercelaru, tidak menentu.

Iklan

SOSAK-SOSEK mengenai kerjasama UMNO-PAS masih berterusan. Ketika rencana ini ditulis semalam (Jumaat), kedengaran macam-macam pro dan kontra, penuh sinis dan sindiran.

Tun Dr Mahathir berkata PAS patut terlebih dulu meminta maaf kepada UMNO kerana satu ketika dulu menganggap parti terbesar Melayu itu sebagai kafir.

Beberapa pemimpin PAS bagaimana pun menegaskan parti Islam itu tidak pernah mengkafirkan UMNO. Agaknya mereka lupa Amanat Haji Hadi!

Sementara pemimpin UMNO kata mereka telah melupakan seteru masa silam, dan kini melangkah ke hadapan untuk kelangsungan martabat bangsa dan agama.

Buang yang keruh, ambil yang jernih. Dan, pastikan ia akan jernih buat selamanya, tidak berkeruh lagi, jauh sekali berjerebu.

MAKA ada yang sinis dengan menghujah mengapa perlu dibangkitkan semula Amanat Haji Hadi pada ketika muafakat hendak direalisasikan?

Mereka kata politik adalah perkara yang serba mungkin, apa sahaja boleh terjadi. Orang yang satu ketika dulu dimusuhi – dan dimaki-hamun siang malam – boleh sahaja menjadi teman seranjang.

Semua orang masih ingat betapa tidak sebulunya Tun M dengan DAP satu ketika dulu. Parti Cina itu bagaikan tidak berguna walau setengah sen. Tetapi hari ini DAP sekelambu dalam PH.

Semua orang masih ingat permusuhan antara Tun M dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi keduanya sekarang dalam sangkar yang sama.

Pendek kata dalam politik tidak ada musuh yang kekal...juga tidak ada sahabat yang kekal.

Gabungan empat parti ini membuah hasil apabila menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu. - Gambar hiasan.

MUJURLAH Zuraida Kamaruddin cepat membetulkan kenyataan, kalau tidak beliau pasti terus dihentam teruk oleh banyak pihak, termasuk dalam kalangan rakan sekabinet sendiri.

Semuanya gara-gara media menyiarkan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang mencadangkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk warga China dan Hong Kong.

Hanya beberapa jam selepas dibantai teruk dalam media sosial, Zuraida mengeluarkan kenyataan bahawa apa yang dimaksudkan dengan HOC itu sebenarnya program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Istilahnya mungkin berbeza – HOC danMM2H – tapi matlamatnya sama untuk menggalakkan warga asing memiliki dan menguasai rumah di negara ini.

Konon kita ada lambakan rumah berharga RM1 juta ke atas – kesemuanya bernilai lebih RM100 bilion – yang tidak mampu dibeli oleh orang tempatan.

Maka lambakan yang tidak laku itu hendak diagihkan kepada pembeli asing terutama dari negara China, khasnya Hong Kong.

Belum lama duku kerajaan lama dihentam kerana menjual hartanah kepada orang China dan Hong Kong. Itu dijadikan antara isu untuk menjatuhkan BN.

Kini nampaknya kerajaan baharu juga macam kerajaan lama, hendak menjual harta kita kepada orang asing. Betullah dalam politik semuanya serba mungkin...

AKHIR kalam, di Pulau Pinang seorang Penolong Pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri itu didakwa di Mahkamah Sesyen di Georgetown berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing.

Dia diharap dan diamanahkan menjaga dokumen penting itu, tetapi boleh gelap mata, dan gelap hati, menjual dokumen itu kepada bukan warga negara.

Di Jelebu, Negeri Sembilan, seorang warden penjara ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memproses air ketum.

Sebagai warden dia diamanahkan menjaga banduan dan tidak boleh terlibat dengan kegiatan seperti itu. Tetapi warden pun boleh gelap mata dan gelap hati.

Pendek kata orang yang diberi amanah pun sering menjadi tidak amanah. Kehidupan sama seperti politik, semuanya serba mungkin.

TOK PERAK