TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan beliau boleh memulakan operasi ketenteraan lain di Genting Gaza sebelum 17 September apabila pilihan raya diadakan di wilayah kepungannya.
Menurutnya, satu lagi konflik dengan Gaza boleh berlaku bila-bila masa termasuk empat hari sebelum pilihan raya.
"Tarikh pilihan raya tidak menjadi faktor dalam keputusan untuk berperang," katanya.
Awal Khamis lalu, Netanyahu membuat ancaman sama sebelum menaiki pesawat ke Sochi, Rusia menerusi temu bual di radio dengan mengatakan bahawa tiada cara lain boleh dilakukan selain melakukan kempen besar-besaran di Gaza.
Difahamkan, ancaman tersebut dibuat beberapa hari selepas pemimpin Zionis itu ditertawakan kerana terpaksa berhenti berkempen dan keluar dalam keadaan tergesa-gesa susulan bedilan roket yang mengancam kawasan berkenaan.
Sejak itu, tentera Israel melancarkan beberapa serangan udara dan meriam terhadap genting Gaza.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima negara Eropah bimbang dengan niat Israel
Khamis lalu, Lima negara Eropah meluahkan 'kebimbangan mendalam' mereka berhubung kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu baru-baru ini mengenai kemungkinan pengilhakan beberapa bahagian Tebing Barat yang diduduki jika beliau dipilih semula, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan bersama.
Menurut kenyataan itu, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan United Kingdom amat bimbang dengan pengumuman baru-baru ini berkaitan kemungkinan pengilhakan beberapa kawasan di Tebing Barat terutama Lembah Jordan dan bahagian utara pantai Laut Mati.
"Langkah ini, jika dilaksanakan, merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang serius,” katanya.
"Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan United Kingdom akan terus menggesa semua pihak bertenang dan tidak mengambil tindakan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa yang akan menjejaskan kebolehjayaan penyelesaian dua
negara, berdasarkan garisan 1967 dan menjadikan keadaan lebih sukar untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” menurut kenyataan itu. - Press TV