RIO DE JANEIRO - Angka korban dalam satu insiden kebakaran di sebuah hospital swasta di bandaraya Rio de Janeiro, Brazil telah meningkat kepada 11 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa pada Jumaat.
Semua mangsa telah dikenal pasti dan kebanyakannya adalah pesakit warga emas yang ditempatkan di unit rawatan rapi yang meninggal dunia akibat terhidu asap. Mangsa paling tua berusia 93 tahun.
Jumlah mangsa yang cedera semasa kebakaran itu belum dikeluarkan namun terdapat laporan bahawa ada yang cedera parah.
Seorang wanita dilaporkan patah kedua-dua kakinya ketika cuba melarikan diri.
Kebakaran berlaku pada Khamis kira-kira jam 6.30 petang waktu tempatan (2130 GMT) di Hospital Badim dan berlanjutan selama beberapa jam.
Petugas perubatan bertindak pantas untuk mengeluarkan berpuluh-puluh pesakit yang ditempatkan di atas katil di sepanjang jalan raya dan pusat jagaan di kawasan kejiranan berhampiran.
Pesakit kemudian dipindahkan ke sembilan hospital yang berhampiran, kebanyakannya adalah institusi swasta.
Terdapat 103 pesakit di Hospital Badim ketika kebakaran meletus. Sejumlah 224 petugas turut berada di lokasi itu, kesemuanya selamat dalam insiden itu, umum hospital tersebut. - Bernama