SEREMBAN - Penyebaran fitnah yang berpotensi membentuk persepsi negatif terhadap pemimpin kerajaan di mata rakyat mesti dihentikan serta-merta.
Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, penyebaran fitnah seperti ini boleh mengundang kemudaratan kepada keselamatan dan perpaduan masyarakat negara.
"Kita kini berada dalam era ledakan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan, kita tidak menafikan pengaruh media sosial yang menjadi medium utama penyaluran maklumat, dasar dan agenda kerajaan malah ia juga telah menjadi penghubung antara rakyat dan pemimpin.
"Namun semua lapisan masyarakat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi sebagai pengguna media sosial yang bijak.
"Gunakanlah kemudahan yang ada secara berhemah dan beretika dalam memupuk semangat solidariti pelbagai kaum dalam mengeratkan konsep Malaysia Baharu,” katanya pada majlis perasmian program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Choo Ken Hwa.
Tambahnya, tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan negara adalah tanggungjawab bersama dan ia bukan sekadar digalas oleh sebuah agensi atau jabatan.
Dalam pada itu, Eddin Syazlee memberitahu, Program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 dilihat dapat menyampaikan maklumat serta dasar-dasar Malaysia baharu dengan lebih jelas selain memberikan impak positif kepada masyarakat.
Program MyMerdeka Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih 2019 yang telah memasuki tahun keempat penganjurannya merupakan pameran berkonsepkan komunikasi visual secara bersemuka.
Program ini bertujuan menterjemahkan aspirasi kerajaan dalam memupuk semangat solidariti pelbagai kaum yang erat demi mewujudkan negara yang bersatu-padu.