PUTRAJAYA - Armada Bersatu membidas kenyataan Naib Presidennya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mencadangkan pemberian kontrak secara rundingan terus demi meraih sokongan penduduk setempat dalam PRU15.
Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, proses pemberian tender perlu bersandarkan merit dan kelayakan penerima.
"Kenyataan ini tidak mewakili pimpinan parti, malah bagi seorang Naib Presiden Bersatu, ia amat tidak sesuai diutarakan kerana khuatir bakal mengundang salah faham dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
"Armada tidak akan berdiam diri jika tahu mengenai sebarang penyelewengan kuasa membarah dalam parti. Kita sendiri akan tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan," katanya pada sidang media, hari ini.
Abdul Rashid ketika menyampaikan ucapan penggulungan mendesak peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan supaya sistem itu memanfaatkan ketua cawangan dan bahagian parti, selain diberikan semula kepada masyarakat setempat.
Katanya, kaedah itu berupaya memastikan ketua bahagian dan cawangan mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjalankan program di kawasan mereka, sekali gus meraih sokongan pengundi.
Mengulas lanjut, Ulya berkata, ia merupakan corak pemikiran kolot dan terdapat cara lain bagi menjana pendapatan parti untuk membiayai program yang memberi manfaat masyarakat setempat.
"Ia merangkumi pendanaan awam dan penganjuran program berkaitan menerusi kerjasama dengan sektor swasta, tanpa membabitkan sebarang amalan kronisme yang menyaksikan pemberian kontrak secara rundingan terus.
"Kalau mereka betul-betul layak kami tidak kisah kontrak itu dianugerahkan kerana ia bersandarkan prinsip merit dan kelayakan, cuma jangan secara rundingan terus,” katanya.