JOHOR BAHRU -"Ibu memang hari-hari duduk di luar rumah selepas makan malam, tak sangka ini yang terakhir sebelum dia pergi tinggalkan kami selamanya,” kata anak kepada warga emas yang meninggal dunia akibat tembakan dalam kejadian di Jalan Tun Fatimah 2, Kangkar Tebrau di sini malam tadi.
S Ganeson, 57, berkata, biasanya ibunya, P Indrani, 78, akan duduk di luar rumah sehingga jam 10 malam untuk berehat dan menunggu kepulangan cucu-cucunya dari tempat kerja.
"Masa itu dalam jam 8.30 malam ibu baru selesai makan dan duduk di luar rumah seperti biasa. Sebelum kejadian kami ada dengar dua kali bunyi letupan kuat tapi kami sangka bunyi mercun.
"Tiba-tiba di luar bunyi bising dan orang ramai sedang mengejar dua lelaki bersenjatakan pistol,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Ganeson berkata, ketika kejadian itu, keluarganya tidak menyedari mangsa telah terkena tembakan kerana pintu rumah berada dalam keadaan tertutup.
"Masa itu semua agak panik, isteri saya terus tutup semua tingkap sebab bimbangkan keselamatan dua anak kami yang berada dalam rumah. Kami cari ibu dan bila jiran jerit 'nenek kena tembak' ketika itu saya lihat ibu dah berlumuran darah.
"Ibu saya sudah uzur dan menghidap minor strok, jadi pergerakannya memang perlahan dan mungkin langsung tidak dapat mengelak,” katanya.
Sementara itu, Ganeson berkata, mendiang Indrani akan disemadikan di krematorium Hindu Jalan Kebun Teh selepas semua ahli keluarga tiba dari Setiawan, Perak.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan wanita itu terkorban akibat suspek melepaskan beberapa tembakan rambang untuk menyelamatkan diri daripada dikejar orang ramai selepas gagal menyamun sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, sebelum kejadian, kira-kira jam 8.45 malam kedua-dua suspek yang juga lelaki itu telah bertindak memasuki sebuah rumah berhampiran untuk tujuan samun.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas maut terkena tembakan di kepala