TERSEBAR di media sosial mengenai penjualan telur murah di Seksyen 7, Shah Alam.
AUTA
Sebaran itu menggesa orang ramai membantu peniaga terbabit yang didakwa diboikot kaum Cina selain untuk membantu jihad ekonomi untuk orang Islam.
Turut dipaparkan alamat serta waktu operasi perniagaan terbabit.
FAKTA
Menjawab dakwaan tersebut, pemilik gambar tular berkenaan, Muhammad Hassif Mad Saad berkata, foto itu adalah gambar lama.
"Foto berkenaan diambil pada tahun 2015 ketika saya menjalankan perniagaan sambilan menjual telur berdekatan rumah.
"Saya sendiri terkejut foto berkenaan kembali tular dan ia tiada kaitan isu diboikot seperti ditularkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Muhammad Hassif lagi, penularan foto berkenaan menyebabkan kawasan perumahannya dibanjiri kira-kira puluhan orang yang mahu membeli telur sejak pagi tadi.
"Ramai datang bertanya. Saya minta supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya percaya apa yang ditularkan dan berhenti berkongsi perkara terbabit di media sosial," katanya.