Kualiti IPU di Kedah bertambah baik

Iklan
Dr Norhizan (kiri) dan Dr Ismail (dua dari kiri) ketika menyaksikan peserta melakukan latihan CPR dalam Majlis Perasmian Program Komuniti Mass CPR Peringkat Kedah dan pelancaran manual CPR dalam komuniti 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

ALOR SETAR - Kualiti udara di Kedah didapati semakin baik apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) didapati menurun hari ini.

Sehingga jam 2 petang ini, kualiti udara dicatatkan di aplikasi Mobile Indeks Pencemaran Udara (MyIPU) di Kota Setar ialah 54, Sungai Petani (65) dan Kulim Hi-Tech (65), manakala Langkawi (34).

Iklan
Iklan

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, beliau bersyukur memandangkan indeks kualiti udara di Kedah secara keseluruhannya menunjukkan perubahan dan didapati makin baik.

Katanya, indeks bacaan kualiti udara berdasarkan bacaan di Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim menunjukkan tahap sederhana, manakala Langkawi baik setakat jam 11 pagi tadi.

Iklan

"Kelmarin, indeks bacaan kualiti udara didapati meningkat di kawasan tertentu seperti Kulim dan Kuala Muda, bagaimanapun hari ini ia telah menunjukkan penurunan seperti Langkawi berikutan hujan.

"Namun begitu, orang awam khususnya golongan yang berisiko di negeri ini tetap dinasihatkan menghadkan aktiviti mereka di luar kediaman susulan jerebu," katanya.

Iklan

Beliau bercakap sedemikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Komuniti Mass CPR Peringkat Kedah dan pelancaran manual CPR dalam komuniti 2019 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini tadi.

Menurutnya, orang awam khususnya penghidap sakit jantung, asma, bronkitis dan sebagainya tetap dinasihatkan mengambil langkah pencegahan dengan mengurangkan aktiviti di luar kediaman.

"Mereka yang memiliki masalah kesihatan sedemikian tidak digalakkan keluar rumah, bagaimanapun jikalau mereka tetap perlu keluar maka dinasihatkan supaya melakukannya dalam tempoh singkat dan mengenakan topeng muka," katanya.

Malah Dr Norhizan berkata, pihak sekolah turut diingatkan supaya menangguhkan aktiviti di luar bilik darjah di sekolah masing-masing demi mengelakkan risiko kesihatan kesan daripada jerebu.

Katanya, orang ramai dinasihatkan memuat turun aplikasi MyIPU di telefon pintar masing-masing demi membolehkan mereka mengetahui tahap kualiti udara dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, beliau turut menasihatkan orang awam supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa memberi perhatian dan berwaspada dengan situasi semasa dengan keadaan jerebu berlaku.

"Selain itu, kita ingin menasihatkan supaya orang awam khususnya yang berisiko dan mudah terkena kesan jerebu seperti sakit saluran pernafasan dan lain-lain tidak melibatkan diri aktiviti di luar rumah," katanya.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, manakala 51 hingga 100 adalah sederhana, diikuti 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas berbahaya.