MELAKA United masih meneliti prestasi pemain import yang bakal dibawa masuk bagi memastikan pemain tersebut menepati ciri diperlukan dan berkualiti untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan seterusnya membantu pasukan mencapai sasaran kedudukan empat terbaik.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, antara pemain import yang hadir sejak awal minggu ini adalah yang berasal dari Serbia, Montenegro dan Korea Selatan untuk dinilai ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan serta barisan kejurulatihan.
"Kita masih menunggu seorang lagi pemain dari Brazil untuk datang ke sini bagi meneliti prestasinya dalam melengkapkan pasukan Melaka United, namun kedudukan kesemua mereka akan ditentukan jurulatih.
"Bagi kuota pemain Asean, kita masih mencari pemain, dan kemungkinan kita hanya akan menggunakan empat pemain asing untuk memperkuatkan pasukan dengan kualiti yang ada," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan pramusim antara Melaka United dan Selangor United di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Sang Kancil menewaskan pasukan daripada Liga Perdana 3-2 menerusi jaringan Safiq Rahim pada minit ketiga, Luka Milunovix (minit ke-64) dan Darko Markovix (minit ke-87) manakala gol Selangor United dijaringkan oleh Yusaini Hafi pada minit ke-34 dan Nikita (minit ke-47).
Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, biarpun Melaka United masih baru dibentuk, pasukan itu mempamerkan persembahan yang baik berdasarkan prestasi semasa namun terdapat kekurangan ketara di barisan serangan yang masih tumpul.
"Kita yakin dengan pemain-pemain yang ‘berjenama’ dibawa masuk ke dalam Melaka United, pasukan ini mampu mencabar musim depan selain berjaya mengembalikan kehadiran ribuan penyokong ke stadium walaupun hanya perlawanan persahabatan.
"Melaka United memang menyasarkan kedudukan empat teratas dalam Liga Super dan memenangi satu piala dipertandingkan yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan kepada ketua jurulatih, diharap dengan sedikit perubahan pasukan ini boleh dimantapkan untuk membentuk pasukan yang ampuh," katanya.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata beliau akan menjadikan tiga perlawanan pramusim yang dirancang sebagai medan menguji para pemain dan membuat pemilihan pemain import untuk memperkuatkan pasukan bimbingannya.
Legenda bola sepak negara itu berkata, walapun mencatatkan kemenangan dalam perlawanan tersebut, mereka harus bekerja lebih kuat selain masih banyak yang perlu diperbaiki untuk membentuk pasukan yang benar-benar bersedia.
"Kita melengkapkan senarai pemain tempatan namun masih menilai pemain-pemain import tetapi dengan kombinasi yang ada biarpun datang dalam waktu yang singkat mereka menunjukkan persefahaman yang baik.
"Masih awal lagi untuk kita membuat kesimpulan kerana pasukan yang ada baru berlatih tiga minggu, kita akan terus menaikkan tahap prestasi pasukan pada perlawanan persahabatan seterusnya bertemu Negeri Sembilan pada 5 Januari serta sebuah kelab dari Singapura pada 8 Januari depan," katanya. - Bernama