KUALA LUMPUR -"Hanya orang yang tidak berhati perut akan mengatakan tragedi Memali adalah perkara kecil," kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.
Menteri Wilayah Persekutuan itu kesal dengan kenyataan segelintir pemimpin yang memperlekeh peristiwa berdarah berkenaan.
"Janganlah dalam kita nak berbaik-baik, kita perlekeh apa yang berlaku dan anggap ini perkara yang kecil," katanya ketika ditemui pada Festival Permainan Malaysia @Kuala Lumpur di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menagih janji Khalid supaya membawa cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa Memali.
Terdahulu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media sempena Himpunan Perpaduan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Jumaat lalu berkata, Pas menganggap peristiwa Memali sebagai kecil berbanding agenda perpaduan melibatkan dua parti Melayu Pas dan UMNO.