44 pasukan berentap Kejuaraan Silat Terbuka Cekak Harimau

Iklan
Sebahagian pesilat yang berentap dalam Kejuaraan Silat Terbuka Cekak Harimau Malaysia 2019 yang bermula sejak Jumaat lalu.

TEMERLOH - Sebanyak 44 pasukan berentap dalam Kejuaraan Silat Terbuka Cekak Harimau Malaysia 2019 di Dewan Tun Razak, Temerloh di sini bermula 13 September hingga 16 September.

Edisi kali ini menyaksikan seramai 601 pesilat mempamerkan kehebatan masing-masing.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia (PSCHM), Datuk Osman Nok berkata, kejohanan yang memasuki edisi kedua itu mendapat penyertaan daripada tiga negara luar iaitu Singapura, Indonesia dan Kyrgyzstan.

Menurutnya, terdapat peningkatan penyertaan kali ini berbanding edisi pertama yang disertai 300 pesilat tempatan dan Uzbekistan.

Iklan

"Kejohanan kali ini diiktiraf di peringkat dunia selepas menerima penyertaan peserta dari tiga negara luar.

"Sebenarnya kita telah menjemput tujuh negara namun mereka tidak dapat datang pada saat akhir kerana masalah teknikal seperti pasport yang tidak lulus dan sebagainya," katanya pada sidang media di sini semalam.

Iklan

Kejohanan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Osman berkata, sebanyak 550 perlawanan diadakan sepanjang empat hari pertandingan kejohanan itu melibatkan tiga kategori umur iaitu 7-12,13-16 dan 17-20 tahun.

"Kejohanan ini diharap dapat dijadikan platform terbaik dalam mencari bakat silat bagi menjadi pelapis kepada atlet silat negara pada masa akan datang," katanya.

Pada edisi pertama tahun lalu, kejohanan tersebut diadakan di Kampung Ketumbit, Kerdau.