KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dituduh memiliki dadah methamphetamine seberat 6,926.72 gram di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini hari ini.
Mohd Faiz Yusof, 35, dari Kampung Macang, Manir di sini, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Faiz.
Mohd Faiz didakwa memiliki dadah itu pada 1 September lalu kira-kira jam 7.30 malam di sebuah bilik bahagian atas rumah di Jalan Pulau Bahagia, Kampung Padang Macang.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 15 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan cubaan tokan dadah melarikan diri ketika serbuan di Kampung Padang Macang, Manir di sini gagal apabila suspek ditahan bersama 60,000 biji pil kuda bernilai RM600,000.