SUNGAI PETANI - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melihat semula prosedur operasi standard (SOP) penggunaan peluru hidup semasa melakukan demonstrasi.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, pada masa sama pihaknya sedang menunggu laporan berhubung perkara itu yang kini masih dalam siasatan.
"Pertama sekali kita sedang lihat semula SOP. Itu biasalah, kita tunggu laporan. Siasatan sedang dilaksanakan, jawapan saya tunggu laporan siasatan baru boleh bagi komen," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Semarak Kasih: Kempen Derma Darah Veteran ATM di Amanjaya Mall Sungai Petani di sini hari ini.
Pada 4 September lalu, Pegawai Komando 11 Rejimen Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.
Mohd Zahir terkena tembakan jarak dekat pada 8.40 pagi dan disahkan meninggal dunia pada 9.20 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.
Sementara itu, mengulas mengenai Kempen Derma Darah yang dianjurkan, Zulkifli berkata, program itu yang turut melibatkan bekas anggota ATM sebagai penderma menunjukkan bahawa jasa bakti warga tentera khususnya veteran tidak pernah berhenti.
"Kini setelah bersara daripada perkhidmatan, sumbangan mereka kepada masyarakat kekal berkesinambungan pula dengan kaedah lain dan salah satunya melalui pendermaan darah kepada insan memerlukan," katanya.
Menurutnya, selain di Amanjaya Mall, kempen derma darah itu turut diadakan di beberapa lokasi lain iaitu di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada 15 dan 16 September, Pasaraya Mega Star Sibu (15 September), AEON Mall, Kota Bharu, Kelantan (16 September) dan AEON Mall Tebrau, Johor (17 September).
Katanya, orang ramai diminta memberikan sokongan kepada Kempen Tabung Pahlawan yang menyasarkan kutipan RM7 juta untuk membantu menjaga kebajikan veteran.
"Kita mohon media bantu menerangkan kepada setiap rakyat supaya beri sumbangan. Kita tidak mahu apabila tiba Hari Pahlawan, askar dan veteran yang memberikan sumbangan untuk diri sendiri, sebaliknya rakyat Malaysia sama-sama bantu. Bukan jumlahnya yang dikejar tetapi semangat itu yang kita mahukan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kematian Mejar Zahir disebabkan kecuaian