KOTA BHARU – Seorang lelaki berpura-pura mahu menumpangkan seorang wanita warga emas sebelum bertindak merentap beg tangan mangsa di hadapan Masjid Gutong Limbat, Pasir Tumboh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, 60, berjalan sendirian ke tempat menunggu bas di tepi pagar masjid tersebut kerana ingin ke tempatnya berniaga di Pasar Peringat.
"Ketika menunggu bas, datang sebuah kereta jenis Perodua Viva lalu berhenti sebelum turun seorang lelaki menawarkan untuk menumpangkan mangsa, namun dia enggan berikutan tidak mengenali lelaki tersebut.
"Tiba-tiba lelaki itu menarik beg tangan mangsa hingga tudung dipakainya ditarik sama menyebabkan dia terpusing hampir rebah,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang berjaya mendapatkan beg tangan mangsa terus masuk ke dalam kereta yang turut dinaiki seorang wanita, lalu melarikan diri ke arah Peringat.
"Semasa kejadian hanya pengadu seorang diri di kawasan tersebut dan tiada saksi melihat kejadian ini. Nombor pendaftaran kereta itu tidak dapat dikenalpasti.
"Mangsa kehilangan kad bank, kad pengenalan diri, telefon bimbit berjenama Nokia dan kerugian wang tunai berjumlah RM500,” katanya.
Kejadian itu bagaimanapun dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik masjid berkenaan dan tular di laman sosial sejak semalam.
Tambahnya, suspek lelaki berbadan kurus, tinggi dan berkulit cerah dianggarkan berusia 30-an warga tempatan berdasarkan percakapan loghat Kelantan, manakala wanita tersebut tidak dapat dicamkan kerana berada di dalam kereta.
"Mangsa tidak mengalami kecederaan dan pihak polis meminta kepada orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menyalurkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.