PUCHONG - Sejak 2016, Hayati Mamat (bukan nama sebenar), 60, mengalami sakit kaki yang menyebabkan wanita itu sukar untuk berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Sejak itu Hayati tidak lagi dapat melaksanakan kerja rumah dan menjaga keluarganya, malah menyebabkan beliau sukar untuk mengerjakan solat.
Pelbagai rawatan telah dicuba daripada moden sehinggalah alternatif tetapi sakit kaki masih tidak sembuh.
Bekas pesara kerajaan itu mendapat tahu dari media sosial mengenai satu rawatan Islam yang menggunakan kaedah ‘tepuk-tepuk’ yang tular.
Lantas Hayati meminta suaminya, Azhar Ali, 65, untuk membawa beliau ke Pusat Terapi Al-Qalam yang terletak di Kampung Tengah, Puchong untuk mencuba rawatan di situ.
Ketika bertemu dengan Presiden Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu, Hayati masih lagi menggunakan kerusi roda yang ditolak oleh suaminya.
Setelah ditepuk beberapa kali di bahagian kaki yang sakit, Hayati seolah-olah mendapat tenaga baharu.
Dia terus bangun dan berjalan ke pintu tanpa dipapah oleh suaminya, malah lupa terus kerusi roda yang digunakannya sejak dua tahun lalu!
Hayati yang ditemui selepas itu seolah-olah tidak percaya dan tidak henti-henti melafazkan rasa bersyukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada Baharuddin.
Pusat Terapi Al-Qalam yang ditubuhkan sejak lima tahun yang lalu, dikunjungi beratus pesakit pada setiap hari untuk mendapatkan rawatan.
Baharuddin berkata, Pusat Terapi Al-Qalam ditubuhkan untuk membantu warga emas yang miskin, golongan OKU yang menghadapi masalah kesihatan dan sesiapa sahaja yang memerlukan rawatan alternatif cara Islam.
"Pesakit yang mendapatkan rawatan perlulah yakin dan ikhlas dengan kaedah rawatan yang diberikan serta sabar untuk dapatkan sesuatu daripada ALLAH SWT.
"Ada yang datang berkerusi roda, pulangnya tidak. Datang berat mengangkat kaki, pulangnya laju. Datang sesak nafas, baliknya lega. Datang wajah pucat baliknya ceria. Semua ini kerja ALLAH SWT,” katanya.
Sambil bergurau Baharuddin berkata, siapa yang mahu tongkat dan kerusi roda boleh mendapatkannya di Pusat Terapi Al-Qalam kerana pesakit yang telah sihat mendermakan tongkat dan kerusi roda mereka di situ.
Mengenai kaedah tepuk yang digunakan, Baharuddin berkata, ia pukulan sederhana kuat yang tidak menyakitkan pesakit tetapi isyarat untuk menyakiti makhluk halus atau menepuk keluar bahan-bahan beracun dalam badan pesakit atau isyarat untuk mengarahkan makhluk halus keluar dari tubuh badan pesakit.
"Termasuk dalam kaedah ini adalah kaedah menyapu dengan menggunakan tapak tangan dan kaedah memicit atau menekan-nekan pada bahagian-bahagian tertentu pada tubuh pesakit seperti ruang antara bahagian ibu jari dan jari telunjuk, belakang leher kanan dan kiri, bahagian atas kepala, bahagian antara ibu jari kaki dan jari telunjuk kali dan lain-lain,” katanya.
Katanya, tepukan adalah kaedah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam merawat penyakit-penyakit tertentu.
Uthman bin Abi al-‘As RA menceritakan bahawa beliau pernah diganggu oleh syaitan dan Rasulullah SAW telah membantu merawat beliau dengan menepuk-nepuk dada serta meludah dalam mulut beliau.
Baginda bersabda;"Gangguan itu sebenarnya daripada syaitan, hampirlah kepadaku.” Saya menghampiri Rasulullah SAW dan duduk berhadapan dengan baginda. Baginda menepuk-nepuk dadaku dengan tangannya dan meludah ke dalam mulutku, sambil berkata;"Keluarlah wahai musuh ALLAH!”
Baginda mengulanginya tiga kali. Kemudian baginda bersabda;"Kebenaran adalah berserta dengan amalanmu.” Uthman berkata;"Saya tidak pernah lagi diganggu setelah itu.”
Baharuddin berkata, selain memukul, menepuk dan meletakkan tangan pada bahagian tubuh yang sakit, Rasulullah SAW juga menyarankan agar menyapu bahagian tubuh badan dengan menggunakan kedua tapak tangan seperti hadis yang disebutkan oleh ‘Aishah RA.
"Berdasarkan dalil itu, jelas menunjukkan bahawa perbuatan menepuk-nepuk dan menyapu pada mana-mana anggota badan pesakit ketika menjalankan rawatan adalah tidak salah dan ia adalah amalan yang dilakukan oleh Nabi SAW dalam rawatan terhadap pelbagai penyakit yang dihadapi oleh sahabat ketika itu.
"Oleh itu pendekatan ini boleh diamalkan dan ia bertepatan dengan sunnah Rasululllah SAW,” kata Baharuddin.