Cadangan Zuraida jual hartanah kepada pembeli luar wajar disokong

Iklan
DR DAROYAH

SHAH ALAM - Cadangan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin supaya menjual hartanah kepada pembeli luar di bawah Skim Malaysia My Second Home (MM2H) wajar disokong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi menasihatkan pihak yang cuba menimbulkan kerisauan berhubung cadangan itu supaya membuat kajian tentang manfaat skim itu terlebih dahulu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia adalah usaha kerajaan bagi mengatasi lambakan rumah mewah tidak terjual dalam pasaran kerana di luar kemampuan rakyat.

"Lambakan projek gajah putih tinggalan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mencalarkan imej dan merencatkan ekonomi negara.

Iklan

"Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) merekodkan lambakan rumah mewah di Malaysia dianggarkan bernilai RM100 bilion yang setiap satunya berharga RM1 juta dan ke atas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, cadangan KPKT bakal membuka ruang dan peluang dalam merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan pelancongan serta aliran tunai masuk ke dalam negara.

Iklan

"Skim ini dilindungi syarat ketat yang dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan. Ia juga bakal menyelesaikan masalah sosial yang timbul di kebanyakan kediaman kosong tidak berpenghuni," katanya.

Beliau berkata, perkembangan MM2H yang diperkenalkan sejak 2002 bergerak perlahan dan baru mencapai tiga peratus iaitu jauh ketinggalan berbanding negara lain.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) bimbang cadangan untuk menarik pembeli dari China bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual itu bakal memberikan kesan tidak baik.

Langkah kerajaan itu dikhuatiri akan menggalakkan pemaju membina lebih banyak hartanah mewah pada masa akan datang dan mengabaikan peranan menyediakan kediaman pada harga berpatutan kepada rakyat.