JOHOR BAHRU - Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mahu belia di negara ini sentiasa menyampaikan ‘suara-suara’ kepada pemimpin negara.
Tunku Ismail bertitah, peranan anak muda penting dalam menyampaikan pandangan demi memastikan kelangsungan perpaduan dan kemajuan ekonomi negara ini.
"Apa sahaja program yang melibatkan perpaduan adalah bagus kerana nawaitu atau niat kita untuk membaiki apa sahaja kelemahan yang ada demi kemajuan negara. Agenda kita mesti jelas.
"Tetapi anak muda harus mainkan peranan penting, macam mana sekali pun sampaikan ‘suara-suara’ anda kerana tugas dan tanggungjawab pemimpin adalah untuk berkhidmat dan menjadi hamba kepada rakyat. Ini pandangan ikhlas saya,” titah baginda ketika menjawab soalan seorang peserta Kongres Belia 2019 berhubung perpaduan dan konsep Bangsa Johor di sini, petang tadi.
Perasmian kongres anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) melibatkan 3,000 peserta itu disempurnakan Tunku Ismail dan dihadiri Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali serta Presiden MBM, Jufitri Joha.
Menurut Tunku Ismail, sebagai pemimpin baginda berjanji akan membantu sedaya upaya untuk pembangunan golongan belia di negara ini.
"Saya sentiasa akan berdoa demi negara dan perpaduan anda semua. Apa yang saya boleh bantu untuk maju ke hadapan dan eratkan lagi organisasi belia, Insya-ALLAH saya akan berada di sini untuk anda,” titah baginda.
Tunku Ismail dalam pada itu bertitah baginda melihat pembangunan ekonomi merupakan agenda penting dalam negara ini kerana ia melibatkan soal kehidupan rakyat dan walau pun berbeza pandangan dan prinsip, namun, pembangunan ekonomi harus dijaga para pemimpin.
"Kerana itu melibatkan kehidupan harian. Jadi, kita tidak boleh terlampau taksub dengan politik semasa. Banyak lagi benda yang boleh kita cari penyelesaian untuk selesaikan masalah supaya negara boleh ke hadapan dan baiki untuk anak cucu cicit.
"Kalau awak tanya saya apa yang penting? Saya hendak tengok negeri saya maju, rakyat senang, pembangunan pendidikan dan kesihatan yang baik serta keprihatinan kerajaan saya kepada rakyat saya,” titah baginda.
Sementara itu, 11 resolusi hasil persidangan meja bulat kongres berkenaan turut diserahkan kepada Tunku Ismail pada majlis tersebut.
Antara resolusi terbabit adalah menggesa kerajaan bersungguh-sungguh menyelesaikan isu ekonomi merangkumi pengangguran dan pemberhentian pekerja yang dirasai golongan belia serta menggesa ahli politik membudayakan politik matang dan tidak mengheret institusi belia ke kancah politik sempit dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. - Bernama