Duit hanya cukup makan, persiapan sekolah belum ada

Iklan

GUA MUSANG - Akibat keretakan rumah tangga ibu bapa, enam beradik terpaksa menumpang kasih nenek yang serba kekurangan di Felda Chiku 5, di sini.

Lebih menyedihkan, minggu terakhir sebelum sesi persekolahan bermula, mereka masih tidak memiliki kelengkapan sekolah.

Iklan
Iklan

Hanya mengharapkan kudrat nenek, Sakiah Abdullah, 60, yang sering uzur, kelewatan bayaran elaun sara hidup Felda sejak dua bulan lalu makin menghimpit keluarga ini.

Menurut Sakiah, Muhamad Alif Faizul, 13, Muhamad Alif Hakimi, 13, Nur Aina Arisha, 10, Nur Aina Batrisya, 7, Nur Aina Nazika, 5, dan Muhamad Alif Nuril Anuar, 4, tinggal bersamanya sejak kecil.

Iklan

"Saya buntu fikirkan perbelanjaan sekolah untuk cucu. Duit yang ada cukup-cukup makan sahaja sedangkan enam cucu akan bersekolah.

"Untuk mendapatkan kesemua kelengkapan baharu, sudah tentu ia tidak dapat ditunaikan. Saya sudah basuh kelengkapan sekolah tahun lalu untuk dipakai cucu tahun ini.

Iklan

"Ditambah pula yuran dan bayaran buku sekolah, agak perit untuk saya. Bayaran elaun sara hidup hanya dapat RM700 bulan ini," katanya.

Hanya RM100 daripada bapa

Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut, Faizul Mat Hasan, 39, mengakui pendapatannya sebagai buruh tidak seberapa.

Jelasnya, bukan tidak mengasihani anak-anaknya, namun pekerjaan sebagai buruh tidak mampu untuk memastikan kelengkapan untuk anak-anak diberi sewajarnya.

"Saya bekerja sebagai buruh bantuan di sekitar Kota Bharu. Pendapatan pula hanya sekitar RM400 hingga RM500 sebulan.

"Saya berpisah dengan ibunya lebih tiga tahun. Sejak dua bulan lalu, ibunya gagal dikesan dan dipercayai ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

"Saya mampu kirimkan RM100 sahaja untuk anak-anak dan selebihnya mertua uruskan," katanya.

Kesusahan dapat perhatian

Bagaimanapun, kesusahan dihadapi keluarga tersebut mendapat perhatian daripada Yayasan Amal Datuk Dr Zul Wisma bersama Tabung Beras 8 Asnaf yang tampil menghulurkan bantuan kasut sekolah dan barangan keperluan harian.

Menurut Pengerusi Yayasan Amal Datuk Dr Zul Wisma, Datuk Dr Zulkepli Mohamad, Tabung Beras 8 Asnaf diuruskan anak-anaknya bagi tujuan yang sama seperti yayasan untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Diharapkan bantuan ini mampu meringankan beban mereka sekeluarga," katanya selepas menyerahkan sumbangan tersebut.