Semua kaum perlu bangunkan Malaysia: Mohd Shafie

Iklan
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu semua lapisan rakyat pelbagai kaum di Malaysia terus bersama-sama mencurahkan khidmat bakti dalam membangunkan negara bagi membolehkan generasi akan datang merasai nikmat pembangunan dan kemakmuran dikecapi kini.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia 2019 yang disambut esok, Mohd Shafie berkata, khidmat bakti dicurahkan kepada negara adalah penting untuk diterjemahkan oleh semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan kepercayaan menerusi tindakan dan bukan hanya melalui laungan lagu atau lontaran suara semata-mata.

Iklan
Iklan

"Khidmat bakti, kita curahkan segala-galanya untuk membangunkan negara ini sebagai sebuah negara yang boleh dihuni oleh masyarakat pelbagai anutan agama dan kaum supaya generasi akan datang mendapat manfaat jauh lebih baik daripada apa yang kita rasa pada hari ini.

"Sehubungan itu, saya amat berharap, bersempena Hari Malaysia ke-56 ini, selaku rakyat Malaysia kita curahkan khidmat bakti kita sebaik mungkin untuk membangunkan dan memajukan negara kita agar rakyat yang ada di negara dan negeri ini terus hidup dalam keadaan aman sejahtera dan makmur,” katanya.

Iklan

Mohd Shafie berkata, Malaysia pada hari ini adalah jauh berbeza berbanding di awal pembentukan negara pada 16 September 1963, yang mana pada ketika itu rakyat berada dalam keadaan daif bukan hanya daripada sudut prasarana tetapi juga pembangunan kemudahan asas untuk kesihatan dan pendidikan.

"Kita sedar dan tahu banyak lagi yang perlu dilakukan, tapi dalam jangka masa 56 tahun kita sebagai sebuah negara bukan hanya telah berjaya dalam memupuk perpaduan, malah mengekalkan kesatuan dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama,” katanya.

Iklan

Mohd Shafie turut mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia Ke-56 kepada seluruh rakyat Malaysia. - Bernama