Apabila menyebut Malaysia, sudah pasti perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah ia tanah air kita, keamanan, kemajmukan, makanan yang sedap dan sebuah negara kerdil yang terletak di hujung benua Asia. Mungkin jerebu juga muncul, maklumlah musim jerebu sekarang.
Tapi sedihnya sekarang, ramai di antara kita terutamanya generasi muda tidak menyedari bahawa tidak mudah sebenarnya untuk Malaysia sampai ke tahap yang ada pada hari ini.
Dilahirkan dari pengorbanan dan darah moyang kita dengan sejuta harapan supaya cucu-cicit dari semua kaum boleh hidup aman di tanah bertuah ini, maka wujudlah negara Malaysia yang cukup unik.
Keunikan Malaysia diiktiraf dunia terutamanya keharmonian kaum yang tiada tandingan di bahagian dunia lain. Malaysia juga sering menjadi contoh negara luar mengenai toleransi kaum yang tinggi. Semuanya dicapai bukan sekelip mata.
Perpaduan yang ada di Malaysia hari ini dicapai kerana semua kaum bersikap sederhana dan mengalah. Tidak ada kaum yang boleh dapat semua yang dikehendaki. Jika kita menyedari hakikat ini, maka satu kestabilan boleh dicapai dan semua kaum boleh menerimanya.
Atas keyakinan ini, maka wujudlah kontrak sosial seperti yang dipersetujui oleh bapa-bapa kemerdekaan kita. Betapa bijaknya bapa-bapa kemerdekaan Malaysia, mereka telah membuat satu tapak kukuh dan landasan yang cantik untuk diikuti oleh pewaris negara ini. Insya-ALLAH jika kita menghayatinya, maka Malaysia akan terus kekal aman dan maju selamanya.
Tapi hari ini, kita boleh nampak ada cubaan untuk melencong dari landasan yang sepatutnya. Nasib baik pagar landasan ini terlalu kukuh, maka lencongan keluar itu tidak berjaya.
Lain pula kisahnya di alam maya, jika kita baca komen, menakutkan! Seperti keadaan negara sedang kucar-kacir. Nasib baik mereka hanya jadi pahlawan papan kekunci, jika di dunia sebenar, pahlawan papan kekunci ini tidaklah segagah jari mereka.
Alhamdulillah kewarasan rakyat Malaysia cukup tinggi bila melibatkan kaum, agama dan Raja. Kewarasan rakyat Malaysia cuma hilang bila ada tular mengenai makanan sedap dan jualan murah! Sudah pasti majoriti sanggup turun ke jalan raya!
Kepantasan pihak berkuasa bertindak jika berhadapan isu-isu kaum dan agama juga adalah antara kunci kepada keamanan negara. Sejak zaman komunis dan peristiwa hitam 13 Mei, pihak berkuasa sentiasa berusaha mententeramkan rakyat. Selain itu, keyakinan keselamatan dan keadilan untuk semua kaum juga membentuk sebuah persepsi positif.
Selain itu, kepelbagaian agama dan adat resam sesuatu kaum haruslah dihormati dan dipelihara, setiap individu berhak mengamalkan adat resam kaum masing-masing dengan harmoni seperti cara mereka berpakaian, amalan agama dan perayaan.
Sewajarnya sikap saling menghormati dan memahami budaya sesama kaum ini perlu dipertahankan demi kesinambungan perpaduan negara. Amalan ini bukan sahaja menggambarkan persefahaman malah meningkatkan lagi kemesraan antara kaum.
Tapi jika rakyat bawahan sahaja menghayatinya pun tidak ke mana jika pemimpin atasan sering macam ingat-ingat lupa. Sebagai pemimpin, usaha memupuk perpaduan sudah pasti ada dalam skop tugasan harian mereka. Pemimpin tidak harus lupa perkara penting ini.
Minggu lalu, Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye ada menyebut, tugasan paling mencabar Malaysia sekarang adalah bagaimana mahu mengekalkan semangat patriotisme dan perpaduan kaum.
Katanya, kita harus mengekalkan patriotisme dan perpaduan bukan hanya pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari Malaysia tapi pada setiap hari.
Kata Lam Thye lagi, sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan kita semua untuk mempertahankan keamanan dengan menahan diri dari melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.
Oleh itu, menjelang Hari Malaysia hari ini, marilah kita bersama-sama berusaha mengekalkan keamanan yang ada dan jangan sesekali merobeknya. Jika sesuatu berlaku kepada negara tercinta kita, ke mana lagi kita mahu pergi? Belum pasti negara lain menerima kita, maka jagalah Malaysia dengan sebaik-baiknya.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Selamat Hari Malaysia kepada semua.