Durakovic: Ini persembahan terbaik Perak

Iklan
Shahrel Fikri (depan, tengah) meraikan jaringan gol kedua tuan rumah bersama rakan sepasukannya pada aksi Piala Malaysia di Ipoh.

KETUA Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menyifatkan kemenangan 3-1 keatas Pahang dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Perak, malam kelmarin adalah perlawanan terbaik skuad Seladang untuk tahun ini.

Menurutnya, pemainnya menunjukkan permainan penuh bertenaga selain mengawal perlawanan dengan baik sehingga mampu menundukkan pasukan gergasi Pantai Timur itu sekali gus membuka peluang untuk pasukan layak ke suku akhir.

Iklan
Iklan

"Memang diakui Pahang sebuah pasukan yang hebat, tetapi kita mampu mengimbanginya dan mencipta kemenangan. Malah, saya rasa kita mampu untuk menang dengan jumlah jaringan yang lebih besar.

"Kredit untuk semua pemain. Mereka tidak pernah mengenal erti putus asa dan ini permainan terbaik pasukan sepanjang tahun ini,” katanya.

Iklan

Dalam perlawanan itu,import Perak, Ronaldo Henrique Silva menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-31 sebelum Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meledak dua gol pada minit ke-45 dan minit ke-47 sementara gol saguhati Pahang dijaringkan penyerang dari Nambia, Lazarus Kaimbi pada minit ke-86.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui corak permainan hambar dipamerkan pemainnya menyaksikan rekod tanpa kalah Tok Gajah lebur di Ipoh.

Iklan

Menurutnya, ia sesuatu yang sudah dijangka selepas enam pemain utamanya yang beraksi bersama pasukan negara masing-masing hanya sempat mendaftarkan diri sehari sebelum perlawanan.

"Kita tak ada pasukan yang macam biasa kita bermain. Enam pemain iaitu empat dengan pasukan kebangsaan, seorang dengan pasukan Singapura dan Indonesia memberikan masalah kerana mereka tidak dapat berlatih terlebih dahulu.

"Saya juga terpaksa bagi mereka bermain juga dan nampak keserasian kurang,” katanya.