TEMERLOH - Biarpun berwajah Melayu, seorang lelaki di Kampung Lubuk Kawah di sini sering disalah anggap sebagai bukan Melayu kerana namanya seperti rakyat Rusia.
Bapa kepada tiga cahaya mata, Soezlov Hakemie Bedul, 53, berdepan situasi itu sejak kecil dan dia kini sudah lali dengan pertanyaan orang ramai.
Katanya, nama itu diberikan oleh bapa saudaranya, Suhaimi Said yang meminta izin kepada ibu bapanya, Bedul Deris dan Siti Nong Mohamed sebaik dia dilahirkan.
"Bapa saudara ketika itu baru pulang daripada menamatkan pengajian di London dan dia tertarik dengan nama itu.
"Ketika itu ibu bapa saya bersetuju meletakkan nama berkenaan kerana telah berjanji," katanya.
Soezlov Hakemie berkata, hanya dia diberikan nama seperti itu manakala tiga adik-beradiknya bernama, Norazman, Baharom dan Suraya.
"Saya pun tak pernah bertanya kepada bapa saudara mengapa dia memilih nama tersebut," katanya yang suka bersukan pada waktu lapang.
Disebabkan sebutan dan ejaan namanya yang unik, anak bongsu daripada empat beradik itu lebih selesa menggunakan nama Hakemie berbanding Soezlov.
Ditanya sama ada dia berdepan kesulitan kerana namanya itu, Soezlov Hakemie mengakui pernah berdepan masalah ketika membuat urusan rasmi.
Dakwanya, identiti dan keturunannya pernah dipersoalkan kerana nama Soevzlov.
"Kadang ada yang tak percaya, betul ke nama saya macam itu dan selepas ditunjukkan kad pengenalan, mereka terkedu seketika.
"Bila isi borang pun saya dah biasa orang bertanya berulang kali mempersoalkan nama Soezlov," katanya.
Sementara itu, isterinya, Nor Shahima Othman, 37, berkata, dia juga terkejut ketika mula mengetahui nama sebenar suaminya.
Katanya, dia juga kurang percaya seperti orang lain pada peringkat awal.
"Ahli keluarga pun ketika itu tertanya, asal mana suami saya kerana nama tersebut," katanya tertawa kecil ketika mengimbau nostalgia perkenalan dengan suaminya.
Menurutnya, dia yang telah berkahwin selama 13 tahun dengan Soezlov Hakemie tidak meletakkan nama yang unik kepada semua anak-anaknya.
Nor Shahima berkata, tiga anaknya diberikan nama Aliff Syahmi, 10, Qaseh Nur Iman Nabilla, 8, dan Aryan Hakeem yang baru berusia setahun lapan bulan.
"Saya pun dah lali jika ditanya rakan-rakan dan mereka yang tahun nama suami," katanya.