Empat sahabat hadapi detik cemas bot terdampar

Iklan
Sebuah bot dinaiki empat pemancing terdampar di kawasan berbatu di Pulau Tukun Terendak, Yan, Kedah semalam selepas mengalami kerosakan enjin dan dipukul ombak.

ALOR SETAR - Sekumpulan pemancing berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan dan terdampar di atas kawasan berbatu di Pulau Tukun Terendak, Yan semalam.

Difahamkan empat pemuda berusia antara 18 hingga 25 tahun itu menaiki sebuah bot fiber menuju ke pulau terbabit sebelum bot dinaiki mengalami kerosakan pada bahagian enjin secara tiba-tiba.

Iklan
Iklan

Tambah panik, bot dinaiki empat sahabat berasal dari Pekan Baru Sungai Petani itu dipukul ombak hingga terdampar di pulau berkenaan berikutan keadaan cuaca buruk.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi menaiki sebuah bot maritim selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.20 petang.

Iklan

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi tersebut, pihaknya mengalami kesukaran memandangkan pulau dikelilingi kawasan berbatu dan menyukarkan misi menyelamat.

"Pasukan penyelamat kemudian dibantu sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan tersebut dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan.

Iklan

"Kesemua mangsa tidak cedera dan dibawa ke pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut diminta supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.