PASIR MAS - Berpantang maut sebelum ajal, itulah yang berlaku kepada seorang lelaki apabila dia terselamat daripada rentung selepas rumahnya di Kampung Tepi Sungai Tendong, dekat sini terbakar pagi tadi.
Kejadian jam 8.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mohamed Shaihan Mohamed Ali, 44, sedang tidur di dalam biliknya secara bersendirian selepas isteri, enam anaknya, ibu dan adik tiada di rumah.
Mohamad Shaihan berkata, isteri dan enam anaknya pulang ke rumah mentuanya yang terletak di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian.
"Ibu dan adik bongsu saya pula berada di Kuala Lumpur kerana menziarahi seorang lagi adik yang menetap di Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, kejadian itu disedarinya apabila terdengar bunyi bising disusuli dengan letupan dari arah luar bilik tidur.
Katanya, sejurus terdengar bunyi itu dia terus bangkit dari tidur dan terkejut apabila mendapati rumah telah terbakar dan api sedang marak.
Mohamed Shaihan yang bekerja sebagai ejen insurans berkata, selepas itu dia terus menyelamatkan diri dan sempat menyelamatkan dokumen penting.
"Api marak dengan begitu cepat tanpa sempat saya berbuat apa-apa.
"Saya sangat terkilan apabila semua kelengkapan sekolah anak-anak tidak sempat diselamatkan," katanya.
Menurutnya, dia yang tinggal sehelai sepinggang kini terpaksa menumpang di rumah saudara mara buat sementara waktu.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Pegawai Kanan Bomba II Lizan Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi.
Katanya, seramai 25 anggota dari Wakaf Bharu, Tunjung dan Pasir Mas telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sejurus kami tiba, rumah tersebut sudah hangus 70 peratus.
"Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.