PSSGM sedia bantu cari pembunuh Adib

Iklan
Adiwijaya Abdullah

BENTONG - Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) percaya dan yakin pihak berkuasa dapat menangani kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dengan sebaik mungkin.

Yang Dipertuanya, Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, pihak berkuasa perlu diberikan masa dan ruang untuk menyelesaikan kes tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PSSGM juga mahu individu yang menyebabkan kematian anggota bomba itu segera dikenakan tindakan demi keadilan kepada Allahyarham dan keluarganya .

"Malah pihak PSSGM yang mempunyai lebih 80,000 ahli sedia membantu pihak polis sekiranya diperlukan bagi mengesan individu yang terlibat dalam kes berkenaan.

Iklan

"Itu adalah tanggungjawab kita yang masih hidup membantu pihak berkuasa untuk memastikan bahawa orang yang mengakibatkan (kematian) Muhammad Adib harus dicari hingga ke lubang cacing sekali pun.

"Sekiranya pihak berkuasa memerlukan kita membantu mencari, ia tidak menjadi masalah dan kita percaya serta mempunyai keyakinan bahawa polis mempunyai kebijaksanaan dalam menangani kes seperti ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Gelanggang Silat Gayung Saidina Umar al-Khattab di Masjid al-Makmur Desa Damai, di sini semalam.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember lalu.

Sebelum itu, Allahyarham yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Selangor cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25 pada awal pagi, 27 November lalu.