KOTA BHARU - Siri kebakaran yang didakwa membabitkan dua beradik lelaki berusia 10 dan 11 tahun di Kampung Padang Pohon Tanjung Tumpat sejak Jun lalu menjadi igauan penduduk yang bimbang kejadian sama berulang.
Seorang penduduk, Mohamad Adam Makhtar, 25, berkata, dia yang tinggal bersama keluarga mengambil langkah berjaga-jaga selepas 11 rumah dan satu salon rambut yang terletak sangat hampir dengan rumahnya musnah dalam kebakaran.
Menurutnya, rumahnya sendiri hampir hangus apabila kusyen di luar rumah secara tiba-tiba terbakar pada jam 12 tengah malam Rabu lalu.
"Ketika itu saya berada di dalam rumah dan terdengar jiran yang berjaga-jaga kerana meninjau persekitaran pada malam itu lalu di hadapan rumah dan kami ternampak kusyen kerusi di luar rumah terbakar sebelum memanggil bapa.
"Bapa dalam keadaan kelam-kabut keluar memadamkan api tersebut dan mujurlah tidak merebak lebih besar,” katanya.
Mohamad Adam berkata, pada jam 11 malam sebelum itu dinding rumah jirannya, Mohd Azril Aminudin, 39, disedari terbakar dipadamkan.
Tinjauan Sinar Harian di kampung itu hari ini mendapati rata-rata penduduk kampung menyuarakan kebimbangan mereka terhadap insiden berkenaan dan ramai mangsa terlibat yang masih buntu memikirkan tempat berteduh.
Seorang mangsa kebakaran 28 Ogos lalu, Mohd Saiful Adlie Ramli, 33, berkata dia tiga beradik sebelum ini tinggal bersama ibu bapa namun terpaksa tinggal berasingan dan menumpang di rumah saudara.
"Saya tinggal di rumah bapa saudara di Kampung Dalam Pagar Pasir Pekan manakala bapa Ramli husin, 63, bersama kakak sulong, Siti Nuria, 34, menumpang sementara waktu di surau kampung.
"Ibu, Rosiah Hamat, 54, dan adik bongsu, Nurfamiza pula menumpang di rumah ibu saudara di Kampung Biak Chicha Tinggi, Pasir Mas,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Tok Janggut Mohd Azamri Ariffin berkata, seramai kira-kira 50 penduduk kampung berkumpul dan mengadakan mesyuarat bagi mencari penyelesaian berhubung kejadian itu.
"Kami di sini dalam kebimbangan kerana takut kejadian sama berulang dan berharap punca kejadian kebakaran membabitkan 11 rumah serta sebuah rumah kedai di kampung ini terungkai.
"Kami harap pihak berwajib mengambil perhatian dan tindakan yang wajar sekiranya benar kejadian berpunca daripada perbuatan khianat atau sebagainya,” katanya.