DUNGUN -"Dua kakak cuba selamatkan adik bongsu tetapi ombak besar bergulung terus tarik mereka," kata Nurrul Najmi Zahari, 12 saksi kejadian menyayat hati membabitkan tiga beradik di Pantai Sura, petang semalam.
Tiga beradik, Nurain Fatma Zawawi, 10, Nurain Sufia Zawawi, 8 dan Nurain Sasabila Zawawi, 6 dikhuatiri lemas selepas dihanyut ombak besar dalam tragedi tersebut.
Nurrul Najmi berkata, sewaktu kejadian dia dan ibunya berada tidak jauh dari lokasi serta kejadian berlaku dalam sekelip mata.
Menurutnya, tiga beradik berkenaan bersama ibu saudara dan neneknya antara yang mengikuti percutian beramai-ramai dari Kelantan ke Dungun.
"Kami datang dengan empat buah kereta dan menetap di sebuah inap desa di tepi pantai.
"Tiga beradik itu turut serta tetapi ibu bapa mereka tidak datang bersama.
"Pada petang kejadian, kami bersiar-siar di pesisir pantai dan tiga beradik itu lebih hampir dengan air.
"Nenek dan ibu saudara mereka juga berada tidak jauh dari situ," katanya kepada pemberita.
Katanya, sewaktu bermain ombak besar tiba-tiba datang menggulung Nurain Sasabila dan kedua-dua kakaknya cuba menyelamatkan adik mereka.
"Pada mulanya hanya adik paling bongsu ditarik ombak dan kakak nombor dua cuba menyelamatkan adiknya.
"Kemudian kakak sulung pula cuba selamatkan adik-adiknya tetapi ketiga-tiga mereka digulung ombak besar," katanya.
Manakala, waris mangsa, Ahmad Adlishan Ismail, 30 berkata, dia bersama saudara mara berusaha menyelamatkan ketiga-tiga mangsa tetapi gagal.
"Sewaktu kejadian, saya tengah tidur tetapi dikejutkan dengan jeritan emak saudara mangsa yang meminta tolong.
"Saya cuba untuk berenang tetapi ombak besar menyukarkan keadaan.
"Ketika itu kesemua mangsa tenggelam timbul di dalam air dan dibawa arus," katanya.