SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan harga telur tahun ini lebih murah berbanding pada 2015 bagi menjawab kritikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya harga telur kini masih tinggi.
JPV menerusi satu kenyataan hari ini berkata, jika dibandingkan, harga telur pada tahun ini adalah 19 hingga 28 peratus lebih murah berbanding 2015.
Menurutnya, memandangkan Najib membuat perbandingan harga maka pihaknya membandingkan harga telur pada 2015 dan 2019 daripada sumber data yang sama.
Katanya, berdasarkan sumber data JPV, harga telur di ladang tahun ini untuk telur gred AA adalah 34 sen sebiji, gred A 33 sen, gred B 32 sen, gred C, 31 sen, gred D 29 sen dan gred E 26 sen.
"Harga itu lebih rendah berbanding empat tahun lalu iaitu gred AA 42 sen, gred A 41 sen, gred B 40 sen, gred C 39 sen, gred D 38 sen dan gred E 36 sen.
"Penggunaan maklumat serta data dan membuat perbandingan yang tidak berasas akan mengelirukan pihak umum dan perkara ini harus dielakkan," katanya.
Semalam, Najib menerusi Facebooknya memuat naik hantaran bahawa harga telur ketika ini masih tinggi dengan membandingkan harga telur sebelum Pilihanraya Umum ke-14 dan harga sekarang.
"Di dalam satu sidang akhbar tahun lepas, menteri PH pernah umum bahawa harga telur turun 2 sen.
"Tapi hampir satu tahun kemudian, saya tengok harga telur masih tinggi," tulis Najib.
Tambah kenyataan itu, harga telur di peringkat ladang bergantung kepada kos input iaitu makanan ayam, gaji pekerja, kos ubatan dan lain-lain.
Bagaimanapun menurutnya, Jabatan melalui kementerian akan terus berusaha memastikan penghasilan telur ayam yang cukup untuk rakyat Malaysia dengan harga kompetitif.
Katanya, kos berkenaan boleh dan akan berubah jika ada kejadian penyakit dan bencana lain seperti kemarau, jerebu dan banjir.
"Ini bermakna harga boleh turun dan naik bergantung pada keadaan dan masa. Contohnya, 70 peratus kos operasi bergantung pada makanan ayam. Makanan ayam diimport dan harganya bergantung pada kadar pertukaran wang yang juga turun dan naik.
"Bukan semua faktor pengeluaran atau kos input dapat dikawal dengan berkesan kerana ia banyak bergantung pada faktor luaran," katanya.
Katanya, JPV melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan terus berusaha untuk memastikan penghasilan telur ayam yang cukup untuk rakyat Malaysia dengan harga yang kompetitif.